Surat Umno minta putus dengan Bersatu pramatang, dakwa Annuar Musa

Surat Umno minta putus dengan Bersatu pramatang, dakwa Annuar Musa

Bekas setiausaha agung BN Annuar Musa menyifatkan keputusan Umno mahu memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15 sebagai pendirian “pramatang (premature).”

Dia mengulas surat yang diutus Presiden Umno Ahmad Zahid Hamid kepada Perdana Menteri dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi Umno.

“Pertama, tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

“Kedua, kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran parlimen,” kata isi surat itu.

Bagaimanapun, Annuar berkata tiada keperluan untuk Zahid secara “diam-diam berutus surat pemberitahuan untuk tidak berkerjasama” dengan Bersatu.

“Sewaktu mula menjalin kerjasama antara parti, tiadapun surat-menyurat memulakan kerjasama itu…

“Apa lagi perkara yang masih jauh di hadapan,” kata bekas setiausaha agung Umno pada satu kenyataan hari ini.

Menurut ahli parlimen Ketereh itu, mandat untuk pentadbiran Perikatan Nasional memerintah sebelum mengadakan pilihan raya umum masih lambat lagi.

“Tempoh PRU (mandat parlimen berakhir pada) 2023. Pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh yang panjang itu. Ia meletakkan parti pada posisi disadvantage (rugi). Apa lagi di saat parti perlu melalui pemilihan parti yang wajib tahun ini.

“Dasar parti semasa pilihan raya akan datang bakal ditentukan pemimpin yang memimpin semasa PRU diadakan. Banyak perkara boleh berlaku antara sekarang hingga tempoh parlimen di bubarkan.

“Dengan pendirian premature (pramatang) ini, kita telah menjadikan diri kita tempang (lameduck) dan kuasa tawar-menawar dalam kerajaan menjadi lemah.

“Yang menanggung akibatnya adalah ahli di akar umbi,” katanya yang juga menteri Wilayah Persekutuan kabinet PN.

Berita penuh :https://m.malaysiakini.com/news/565208