Surat terbuka buat Najib Razak

Semalam saya telah menghantar satu surat rasmi kepada DS Najib Razak merayu dia bayar hutang cukai pendapatan tertangguh supaya 4 juta pelajar Malaysia mendapat laptop berkualiti secara percuma.

Minggu hadapan saya akan bertemu dengan YB Menteri Kewangan untuk bincang kemungkinan mengenepikan beberapa prosedur tatakelola kewangan kerana yakin Najib bukan munafik bila bercakap isu rakyat, maka sebaik sahaja dia bayar segera perlulah difikirkan menyegerakan 4 juta laptop percuma pada pelajar.

Surat seperti di bawah.
————————-
Tarikh : 18 Febuari 2021
Kepada
YB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABD RAZAK,
Bekas Perdana Menteri Malaysia
& Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional
NO.11 JALAN LANGGAK DUTA TAMAN DUTA 50480 KUALA LUMPUR.
[email protected]

YB Datuk Seri ;

RAYUAN MEMPERCEPATKAN BAYARAN HUTANG TERTUNGGANG CUKAI PENDAPATAN BERJUMLAH RM1,695,079,000 (SATU BILLION ENAM RATUS SEMBILAN PULUH LIMA JUTA TUJUH PULUH SEMBILAN RIBU RINGGIT MALAYSIA)

Sebagai rakyat Malaysia biasa perkara di atas dirujuk.

Pertama sekali saya ingin rakam penghargaan kepada YB Datuk Seri di mana sejak mutaakhir ini nampaknya Datuk Seri mampu bercakap perbagai isu rakyat. Ramai mengkritik Datuk Seri ketika menjadi Perdana Menteri seolah tidak mendengar dan tidak memahami banyak isu rakyat (mungkin kerana dikelilingi pengampu yang memberi maklumat salah) namun mutaakhir ini Datuk Seri dilihat tiba – tiba entah bagai mana mampu bercakap banyak isu rakyat.

Walaupun Datuk Seri duduk dalam kerajaan namun mungkin apabila pembangkang itu sendiri asyik bertelagah sesama mereka, kesannya kurang bagi institusi semak dan imbang apabila Datuk Seri dilihat cuba sedaya upaya memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang. Ternyata sedikit sebanyak ia berjaya.

Banyak perkara dan isu dibangkitkan, namun saya hendak menarik perhatian kepada isu penting kini yang Datuk Seri bangkitkan iaitu isu keperluan tinggi peranti (laptop dan tab) kepada pelajar perbagai peringkat bagi kelancaran Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR). Saya yakin Datuk Seri tidak munafik dalam memperkatakan isu ini dan keperluannya yang tinggi. Saya rasa Datuk Seri setuju dengan premis sebagai pemimpin hebat sudah tentu kalau benda baik kita mampu lakukan makanya tidak perlu kita tunggu pihak lain.

Maka dengan rendah hati bagi pihak rakyat Malaysia saya ingin merayu keperihatinan Datuk Seri untuk membayar cukai pendapatan yang tertangguh oleh Datuk Seri dan keluarga sebanyak RM1,695,079,000 (SATU BILLION ENAM RATUS SEMBILAN PULUH LIMA JUTA TUJUH PULUH SEMBILAN RIBU RINGGIT MALAYSIA). Ketika pemerintahan Datuk Seri pernah menginatkan rakyat jangan mengelak cukai malah semua rakyat yang dikenakan cukai GST diingatkan ketika itu supaya menerima dan bersedia membayar cukai sebagai satu tanggungjawab. Malah ketika itu rakyat diingatkan tidak membayar cukai merupakan satu pengkhianatan.

Saya tidak hendak bercakap isu SRC atau 1MDB yang Datuk Seri dan segelintir penyokong mengatakan Datuk Seri tidak bersalah. Saya bercakap soal cukai pendapatan yang Datuk Seri dan keluarga tidak bayar sejak 2011 – 2017 yang membawa jumlah tersebut. Mahkamah sudahpun memutuskan pada 7 Julai 2020, 22 Julai 2020 dan terakhir 18 Julai 2020 di mana Datuk Seri wajib membayar jumlah itu dan dalam penghakiman menyatakan ia tidak boleh dirayu lagi di Mahkamah.

Ya, Datuk Seri pelajar diperbagai peringkat ramai lagi memerlukan alat peranti (sama ada laptop atau tab). Saya dan beberapa kawan – kawan sudah mengumpulkan beberapa sebut harga antaranya ACER TRAVELMATE 6592 Spesifikasi: INTEL CORE 2DUO, 2GB RAM, 80GB HDD/120 SSD, ATI GRAPHICS, DVDROM. Boleh diperolehi dengan harga hanya RM349.20 itu belum lagi dikira belian pukal yang banyak. Ini membawa maksud apabila Datuk Seri membayar cukai pendapatan Datuk Seri yang tertangguh sejak 2011 itu maka pasti sekitasr 4.9 juta pelajar seluruh negara bakal mendapat peranti percuma.

Isu tidak punya wang untuk cukai bagi Datuk Seri dan keluarga sudah tentu hampir tidak wujud. Cuma mungkin Datuk Seri perlu sikit masa bagi mencairkan beberapa pegangan kewangan milik Datuk Seri dan keluarga yang bernilai berbelas (mungkin berpuluh) billion. Paling tidak pun bayarlah separuh dulu bagi mendahulukan kepentingan rakyat yang Datuk Seri sering perkatakan kini. Saya yakin Datuk Seri bukan orang yang munafik atau sekadar bercakap isu rakyat bagi kepentingan politik semata.

22 Febuari 2021 saya akan bertemu YB Menteri Kewangan bagi menyampaikan kesediaan Datuk Seri membayar hutang cukai pendapatan tersebut dan ingin merayu pula kepada YB Menteri Kewangan agar mencari apa juga jalan bagi mengenepikan beberapa tatakelola kewangan bagi membolehkan cukai pendapatan yang Datuk Seri bayar itu nanti dapat terus digunakan bagi pelajar seluruh negara.

Sekali lagi saya sangat yakin bahawa Datuk Seri bukanlah seorang yang munafik yang hanya menggunakan nama rakyat bagi tujuan politik semata, Cuma mungkin kekhilafan tidak membayar cukai itu mungkin sama sama boleh kita lupakan dengan kesediaan Datuk Seri membayar cukai itu dalam kadar segera.

Bagi pihak rakyat Malaysia saya ingin mengucapkan ucapan setinggi penghargaan kesediaan Datuk Seri membayar hutang cukai tertunggak dalam masa terdekat. Harapnya teruslah Datuk Seri bercakap perbagai isu yang mana peranan itu seharusnya peranan ketua pembangkang namun malangnya pembangkang sendiri sedang berebut tidak tentu hala.

Sekian dan terima kasih.
BADRUL HISHAM SHAHARIN

COMMENTS

Wordpress (0)