Satu laporan polis dibuat hari ini berkenaan dua surat palsu berkaitan perolehan kontrak membabitkan nama Kementerian Pertahanan.
Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Pertahanan, Rafizal Ali, berkata pihaknya terpaksa membuat laporan kepada polis bagi mengelak sebarang kesan daripada penyalahgunaan nama menteri, pejabat menteri dan kementerian pada surat tersebut.
Menurut Rafizal, surat pertama bertarikh 9 Disember 2018, daripada sebuah syarikat berpengkalan di Kelantan.
Katanya kandungan surat berkenaan menyatakan permohonan khas daripada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berhubung pembekalan perabot bagi Angkatan Tentera Malaysia.
“Pada surat itu tertera cap terima didakwa daripada Pejabat Menteri Pertahanan pada 24 Disember 2018.
“Ada juga tandatangan dan cap nama Menteri Pertahanan bertarikh 9 Disember 2018 serta nota arahan menteri,” katanya yang ditemui media di luar pekarangan Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas surat kedua pula, Rafizal berkata, ia dari Bahagian Perbendeharaan dan Audit, Unit Pentadbiran Awam, Jabatan Tentera Laut.
Surat itu katanya menawarkan pembekalan perkhidmatan bas dan kenderaan untuk markas Angkatan Tentera kepada sebuah syarikat di Kedah, bertarikh 17 Jan 2019.
Turut disertakan kata Rafizal ialah sijil pelantikan sebagai syarikat pembekal bagi tempoh kontrak selama lima tahun bermula Febuari 2019 sehingga Febuari 2024.
“Setelah diteliti dan mendapat maklumat daripada pihak berkaitan, ditegaskan bahawa tiada surat tawaran seperti dokumen tersebut dikeluarkan dari pihak berkenaan,” tegasnya.
Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/465666