Sumber mineral belum diteroka di Malaysia dianggarkan bernilai RM4.11 trilion – Menteri

Sumber mineral belum diteroka di Malaysia dianggarkan bernilai RM4.11 trilion – Menteri

Nilai keseluruhan sumber mineral dalam bumi di Malaysia yang masih belum diterokai berjumlah RM4.11 trilion.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, nilai keseluruhan itu adalah penilaian secara kasar dengan kementerian terbabit dan perlu dilakukan aktiviti pemetaan secara terperinci bagi mendapatkan nilai deposit sebenar sekiranya mahu diterokai.

Berdasarkan penilaian itu juga, katanya, jenis mineral berlogam dianggarkan bernilai RM1.03 trilion, manakala mineral bukan logam bernilai RM1.65 trilion, diikuti mineral tenaga (RM1.31 trilion) dan pasir (RM1.31 trilion).

“Itu pun hanya melibatkan (kawasan) Semenanjung Malaysia dan belum lagi hasil mineral di Sabah dan Sarawak.

“Kita memandang serius penerokaan mineral dan berhasrat menjadikannya sumber baharu kepada negara pada depan.

“Sumber mineral negara penting namun sejak harga timah jatuh, industri mineral tidak berkembang maju sedangkan negara ini kaya dengan sumber mineral,” katanya semasa berucap pada Sesi Perjumpaan Bersama Media di sini hari ini.

Sesi itu turut dihadiri Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin.

Shamsul Anuar turut menegaskan bahawa bekalan minyak mentah yang ada di Malaysia kini hanya mampu bertahan dalam tempoh 38 tahun sahaja termasuk simpanan di luar negara.

Menurutnya, kerajaan perlu menumpukan kepada sumber baharu iaitu nadir bumi yang semakin diperlukan pemain industri di dunia.

“Kalau kita masih bergantung kepada industri minyak, di manakah kita pada masa depan? Bagi tujuan itu, kementerian akan membangunkan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2020-2030 bagi proses holistik termasuk bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri,” katanya.

Shamsul Anuar turut mendedahkan bahawa industri mineral di negara ini sebenarnya mampu menjana pendapatan lebih tinggi kepada negara sekiranya aspek industri itu turut membabitkan aktiviti hiliran dan nilai tambah.

Pada ketika ini, katanya, industri mineral Malaysia hanya melaksanakan aktiviti mengeksport dan menjualnya secara mentah sahaja.

“Kita ambil contoh (mineral) bauksit di Pahang, kita hanya jual mentah sahaja. Maka berlaku pencemaran dan kita hentikan.

“Tetapi kalau kita guna prosedur operasi standard (SOP) ambil bauksit cuci dengan air sahaja, nilai harganya akan meningkat 110 kali ganda dalam pasaran,” katanya.

Berita penuh :   https://www.sinarharian.com.my/article/96010/BERITA/Nasional/Sumber-mineral-belum-teroka-di-Malaysia-dianggarkan-RM411-trilion