Sumber dalaman dedahkan tiada pemimpin yang mampu buat ‘keputusan tegas’ di Putrajaya

Sumber dalaman dedahkan tiada pemimpin yang mampu buat ‘keputusan tegas’ di Putrajaya

Seorang pegawai kanan dari pentadbiran Putrajaya mendakwa kerajaan kekurangan kepimpinan yang tegas dan itu menjadi punca mengapa pengurusan pandemik Covid-19 di negara ini dilihat lemah.

“Terlalu ramai orang menguruskan perkara yang sama” membawa kepada keputusan ‘flip-flop’ dan dasar yang tidak jelas, katanya.

Sumber dalaman, yang enggan dikenali itu memberitahu FMT dia percaya negara memerlukan seorang jeneral perang, namun tiada katanya.

Beliau mengulas laporan FMT bahawa orang disekeliling Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah memberi amaran kepadanya dan beberapa menteri mengenai kemarahan rakyat yang semakin meningkat.

Katanya kemarahan orang ramai itu boleh difahami, memandangkan situasi terkini Covid-19.

Keputusan Jemaah Menteri seringkali lambat dilaksanakan, seperti rancangan kerajaan untuk memperkenalkan gelang peranti pengesanan berteknologi tinggi bagi mereka yang positif Covid-19 dan kontak rapat.

“Semuanya bergerak terlalu perlahan,” katanya.

“PM perlu mendapatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat. Sekiranya dia tidak mendapat sokongan yang secukupnya, mungkin ada lebih baik Yang di-Pertuan Agong memanggil semua Ahli Parlimen dan mencari kata sepakat untuk membentuk kerajaan sementara.”

Katanya negara kini memerlukan kerajaan yang kuat, yang akan menyusun semula Parlimen.

Tambahnya, dia diberitahu beberapa ahli politik, termasuk seorang pemimpin Umno dan seorang bekas perdana menteri, juga sudah merancang kemungkinan membentuk kerajaan sementara untuk mentadbir negara sebelum pilihan raya umum berikutnya.

“Saya faham mereka sudah mengumpulkan pasukan mereka.”

Bagaimanapun, tambahnya reformasi politik yang serius diperlukan dalam jangka panjang.

“Rakyat perlukan calon yang berkebolehan dan bukannya parti politik, sebaliknya calon yang profesional dan pakar.

“Kita perlu membenarkan Ahli Parlimen bebas untuk membentuk blok yang cukup besar bagi memerintah tanpa terikat atau dikuasai parti politik,” katanya.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/18/tiada-pemimpin-yang-tegas-di-putrajaya-kata-sumber-dalaman/