Sultan Johor kecewa, baru 10 peratus rakyat Johor divaksin

Sultan Johor kecewa, baru 10 peratus rakyat Johor divaksin

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa dengan kadar suntikan vaksinasi yang masih rendah di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Baginda bertitah, setakat ini hanya 10 peratus daripada 3.78 juta populasi Johor disuntik melalui program berkenaan.

Justeru, baginda berharap kerajaan Pusat dapat mempertingkat lagi bekalan dan kadar vaksinasi tersebut termasuk di negeri ini.

Sultan Johor

“Jentera kerajaan negeri bersedia memberikan 50,000 suntikan sehari dengan sasaran memvaksinasi 50 peratus daripada populasi Johor dalam tempoh dua bulan,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas baginda berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Penasihat Undang-Undang Johor, Amir Nasruddin dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Aman Rabu.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Muafakat Johor di Bukit Gambir berkata, Malaysia sudah menempah dan membayar vaksin daripada pihak pembekal, namun masih belum menerima sepenuhnya.

Muhyiddin serentak itu mengarahkan menteri bertanggungjawab iaitu Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba agar segera meminta pembekal bekalan itu secepat mungkin.

Dalam pada itu, Sultan Johor turut menyatakan kebimbangan berhubung maklumat jangkitan Covid-19 yang dipersembah kerana mendapati penyumbang utama kes harian dilaporkan adalah dari tempat kerja, kawasan perindustrian dan sektor pembinaan.

Tambahnya, keadaan menjadi lebih parah apabila 69 peratus kes baharu merupakan jangkitan sporadik dalam kalangan masyarakat yang tidak dapat dipastikan puncanya.

“Langkah penyelesaian terbaik hanyalah dengan pemberian vaksin kepada semua rakyat dengan cepat dan menyeluruh. Ini telah terbukti berjaya di banyak negara yang melaksanakannya,” titah Sultan Ibrahim.

Menurut Laporan Vaksinasi Covid-19 Negeri Johor daripada Jabatan Kesihatan Negeri, setakat 20 Jun lalu, seramai 1,788,190 penduduk Johor telah berdaftar untuk mendapatkan vaksin berbanding sasaran 2.8 juta orang.

Daripada jumlah yang berdaftar, hanya seramai 370,186 orang telah mendapat dos pertama suntikan vaksin dos manakala seramai 160,077 orang telah melengkapkan kedua-dua dos mereka.

Daerah tertinggi yang mencatatkan penerimaan vaksin adalah Johor Bahru dengan seramai 125,574 orang telah terima dos pertama dan seramai 53,086 telah lengkap kedua-dua dos, diikuti Batu Pahat, (42,608 dos pertama dan 16,656 kedua-dua dos).

Setakat tengah hari semalam, Johor melaporkan sebanyak 239 kes positif baharu dengan lapan kematian menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini adalah sebanyak 68,546 kes dengan keseluruhan 520 kematian.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/sultan-ibrahim-kecewa-baru-10-peratus-rakyat-johor-divaksin/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=sultan-ibrahim-kecewa-baru-10-peratus-rakyat-johor-divaksin