Sudah tujuh kali banjir dan ini paling buruk, kata penduduk Gemas

Sudah tujuh kali banjir dan ini paling buruk.Banjir kali ini adalah yang ketujuh sejak menetap di Taman Sungai Gemas, 16 tahun lepas dan terburuk pernah dialami,” luah suri rumah Norizan Abdullah, 53, selepas rumahnya ditenggelami air hingga paras leher susulan hujan lebat sejak Jumaat.

Norizan berkata rata-rata penduduk Taman Sungai Gemas bersiap sedia menghadapi banjir sekiranya berlaku hujan lebat memandangkan kawasan perumahan itu terletak berhampiran Sungai Gemas.

“Kejadian banjir kilat memang kerap berlaku di kawasan ini apabila Sungai Gemas melimpah masuk loji kumbahan dan kolam takungan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Banjir besar pernah terjadi pada 2011 dan tahun ini kembali berulang malah lebih teruk apabila banyak kediaman rosak teruk dan dinaiki air lebih paras bahu,” katanya yang ditemui Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Besar Gemas di sini semalam.

Sudah tujuh kali banjir dan ini paling buruk, kata penduduk Gemas

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Kampung Gemas Indah, Mohd Rawi Majid berkata kebanyakan rumah di Taman Sungai Gemas terletak di kawasan rendah.

“Hujan berterusan menyebabkan hampir 60 rumah dengan 200 mangsa serta surau berdekatan terjejas banjir. Kalau nak ikutkan sejarah, sememangnya Taman Sungai Gemas ini merupakan kawasan mudah dinaiki air,” katanya.

Ahli Parlimen Tampin Datuk Dr Hasan Bahrom berkata antara kawasan terjejas teruk dilanda banjir adalah Felda Jelai 4, Kampung Pasir Besar, Felda Sungai Kelamah, Taman Pinggiran Felda dan Taman Sungai Gemas.

“Bantuan Wang Ihsan RM1,000 akan diberikan kepada keluarga mangsa banjir dan jumlah sebenar akan dikenal pasti sebaik urusan pemindahan mangsa ke PPS selesai. Pada masa ini, kita agihkan bantuan barangan keperluan asas dan makanan kepada mereka,” katanya.

BACA JUGA :

Belum pun habis penat mencuci kesan banjir, kini air naik balik lebih tinggi
Tular dakwaan punca banjir kerana pelepasan air empangan di Melaka, ini sebenarnya yang berlaku

Artikel ini disiarkan pada 03/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)