Sudah tiba masanya kluster menteri dalam Umno masuk Bersatu

Sudah tiba masanya kluster menteri dalam Umno masuk Bersatu

Sudah tiba masanya kluster menteri dalam Umno masuk Bersatu.

Di bawah ini ialah petikan berita daripada portal UMNO Online bertarikh 28 Mac 2021 berhubung ucapan Zahid Hamidi ketika menyampaikan penggulungan dalam penutup PAU2020 di Dewan Merdeka, PWTC.

Perwakilan telah bersetuju untuk memberikan mandat kepada presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menentukan tarikh penarikan diri parti dari kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, sekiranya sebarang ketetapan berkenaan penarikan diri tersebut dilakukan beliau berharap situasi itu mendapat kerjasama daripada pemimpin UMNO yang berada di kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Maka kalau dapat difahami bahawa perwakilan telah memberikan mandat kepada presiden dan MKT untuk menentukan bahawa kita boleh menarik diri dari kerajaan PN bila-bila masa.

“Kalau ini menjadi keputusan mereka, saya yakin rakan-rakan terutamanya menteri, timbalan menteri, pengerusi GLC malah seluruh ahli-ahli Parlimen akan 100 peratus akur dengan keputusan parti ini.

“Ertinya kalau menarik diri dan ini merupakan keputusan parti mereka tidak akan gusar untuk meletakkan jawatan demi mematuhi keputusan yang dibuat oleh parti,” katanya.

Berdasarkan berita di atas, adalah jelas bahawa Presiden dan MT UMNO telah diberi mandat oleh perwakilan PAU2020 untuk menentukan bila waktu yang sesuai untuk UMNO keluar daripada kerajaan.

Ini bermakna, selain PAU2020 telah memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang, penentuan bila UMNO mahu keluar daripada kerajaan PN adalah terletak di tangan Presiden dan MT membuat penentuan.

Dalam bahasa yang mudah, bila waktunya untuk UMNO harus berbuat demikian adalah terserah kepada Presiden dan MT membuat pertimbangan.

Tidak timbul isu bahawa UMNO akan terus berada dalam kerajaan sehingga PRU15 diadakan kerana yang sebetulnya berdasarkan mandat itu, UMNO akan berada dalam kerajaan selagi Presiden dan MT tidak membuat keputusan meninggalkan kerajaan.

Setelah MT membuat ketetapan keluar kerajaan diambil, maka terputuslah hubungan UMNO dengan kerajaan PN dan ia akan menjadi keputusan parti yang mesti dipatuhi oleh semua pemimpin, Ahli Parlimen, Adun dan ahli-ahli di semua peringkat.

Mereka yang enggan patuh kepada keputusan parti boleh memilih sama ada keluar daripada UMNO atau sedia berdepan tindakan disiplin.

Tiada lagi keperluan untuk Zahid Hamidi dan MT mendapat persetujuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO sebelum mengambil keputusan membawa keluar parti meninggalkan kerajaan PN.

Dalam keadaan ini, adalah sia-sia saja sebarang usaha sebahagian Ahli Parlimen UMNO, terutama daripada kalangan kluster kabinet yang dilaporkan tidak setuju dengan ura-ura Zahid Hamidi sedang menggerakkan usaha mendapatkan sokongan MT untuk membawa keluar UMNO daripada kerajaan menjelang 1 Ogos depan.

Malam tadi, sebahagian mereka dilaporkan berkumpul mengadakan pertemuan di rumah seorang menteri di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur.

Di samping pertemuan bersemuka itu boleh dianggap melanggar SOP PKP, tidakkah mereka sedar perwakilan PAU2020 telah pun memberi mandat yang sah kepada Zahid Hamidi dan juga MT?

Dengan perhimpunan agung adalah kuasa membuat keputusan yang tertinggi sekali dalam parti, tiada apa lagi sebenarnya yang boleh dilakukan oleh penentang-penentang Zahid Hamidi mengubah keadaan.

Tambahan lagi dengan Zahid Hamidi juga telah berjaya memperolehi sokongan majoriti dalam MT untuk menangguhkan pemilihan UMNO selama 18 bulan atau sehingga tahun 2023, ini bererti beliau akan terus kekal memimpin parti sehingga PRU15 diadakan.

Maknanya, watikah calon untuk PRU15 nanti masih lagi perlu ditandatangani oleh Zahid Hamidi.

Untuk itu, mereka yang terus menentang usaha UMNO keluar daripada kerajaan PN boleh dikata akan memiliki nasib yang suram untuk terus dipilih lagi sebagai calon dalam PRU15 akan datang.

Mereka itu bukan saja ingkar kepada keputusan parti, malah boleh ditafsirkan sebagai golongan yang lebih memikirkan nikmat peribadi sebagai menteri dan timbalan menteri berbanding hasrat mengangkat semula matlamat perjuangan parti.

Mereka sebaiknya lebih wajar cepat-cepat-cepat menyertai Bersatu kerana laluan di dalam UMNO untuk terus jadi penentang kepimpinan adalah jalan mati, kalau pun tidak gaung yang menunggu di depan.

Dengan demikian, tiada masalah lagi untuk mereka jika ingin terus menjadi penentang UMNO sekali pun sambil menyokong, mempertahan, membodek dan mengampu Mahiaddin serta kerajaan PN walau setinggi langit sekali pun selepas itu.

Sumber :

BACA JUGA : Suruh orang kibar bendera putih tindakan pengkhianat negara, kata pemimpin Pas