Sudah seminggu 7 sekeluarga ini terpaksa tidur dalam kereta

Sudah seminggu 7 sekeluarga ini terpaksa tidur dalam kereta

Sudah seminggu 7 sekeluarga ini terpaksa tidur dalam kereta.Sepasang suami isteri di sini yang tidak mempunyai pilihan terpaksa membawa lima anaknya berhimpit dan tidur dalam kereta sejak seminggu lalu.

Saliza Samat, 38, berkata, dia dan suami, Mohd Hazrul Haris, 43, terpaksa membuat keputusan itu selepas keluar dari kediaman bapa mentua yang ditumpanginya di Kampung Ulu Mengkuang.

Menurutnya, oleh kerana tidak mempunyai arah tujuan dan kekangan wang untuk mencari rumah sewa, mereka tekad tinggal dalam kereta jenis Proton Iswara Aeroback milik suaminya yang diletakkan di belakang deretan bangunan kedai di Jalan Sri Permai, Selama sementara mencari ikhtiar.

“Keputusan keluar dari rumah itu dibuat atas rasa kebaikan semua pihak, sudah lebih setahun kami menumpang di sana, jadi sekarang biarlah kami anak-beranak berdikari.

 

“Walaupun kami tak cukup wang untuk sewa rumah, kami cuba juga ronda-ronda cari yang sesuai di sekitar pekan ini, namun tidak berhasil.

“Sampailah kami berpakat untuk duduk diam dan tinggal dalam kereta, kami tahu anak-anak tidak selesa, tetapi kami dah tak punya pilihan lain,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.

Ujar Saliza, mereka dan anak-anak berusia masing-masing berusia 15, 13, 9, 8, dan 2 tahun hanya sempat tinggal dalam kereta itu selama tiga hari bermula Khamis lalu dan bermalam dua hari sebelum dibantu penduduk setempat.

Ibu kepada lima anak itu memberitahu, sepanjang tempoh berkenaan, mereka membeli makanan di kedai dan menjadikan sungai serta stesen minyak sebagai tempat mandi dan solat.

“Bila malam kami biarkan anak-anak yang tidur, saya dan suami akan berjaga, ada ketikanya bila penat sangat, suami tidur di kaki lima bangunan beralaskan kain.

Muhamad Arafat (kanan) membawa Mohd Hazrul dan Saliza serta anak-anak berpindah ke kediaman sewa baharu mereka di Taman Permai 2, Selama.
“Mujurlah anak-anak memahami keadaan ini dan tidak banyak merungut apabila kena tidur dalam kereta dan mandi di stesen minyak,” kongsinya.

Mereka sekeluarga sebelum ini menetap di Selangor, namun mengambil keputusan pulang ke kampung selepas suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori hilang pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19.

Jelasnya, dengan duit simpanan hasil pengeluaran i-Sinar dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan yang diperoleh suami sebagai pemegang kad kelainan upaya cacat fizikal, dapatlah menampung perbelanjaan makan minum mereka sekeluarga.

“Saya hanya mengharapkan urusan mencari rumah dipermudahkan supaya anak-anak dapat jalani hidup dalam keadaan selesa dan selamat dan bolehlah kami cari pekerjaan yang sesuai untuk menampung hidup nanti,” katanya.

Keadaan keluarga ini mendapat perhatian Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang kemudiannya membantu menyediakan kediaman sewa.

Katanya, kebetulan seorang ahli parti itu menemui keluarga berkenaan dan menempatkan mereka di Pejabat PKR Selama di sini sebelum mencari kediaman lebih selesa untuk didiami.

“Hari ini (Rabu) keluarga ini telahpun dibawa berpindah ke rumah baru mereka di Taman Permai 2, di sini dan kita harap selepas ini mereka dapat memulakan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Saliza di talian 010-5114 893 atau sumbangan ke akaun BSN 1012841000062997 atas nama Saliza Samat.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/148626/EDISI/Tujuh-beranak-berhimpit-tidur-dalam-kereta

kalau Anda terlepas: Umum TPM baru bukti Muhyiddin sedang terdesak – Mujahid