Sudah 500 hari kita ber PKP pelbagai versi

Sudah 500 hari kita ber PKP pelbagai versi

Jumaat menandakan hari ke-500 sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan untuk membendung wabak Covid-19, walaupun dasar tersebut kebelakangan ini diperlekeh berikutan lonjakan jangkitan.

PKP yang mula berkuat kuasa pada 18 Mac tahun lalu menganjurkan “norma baharu” yang menyaksikan rakyat terpaksa mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP).

Pelbagai versi PKP turut dilaksanakan, seperti PKP diperketat, PKP pemulihan dan fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara.

500

Setiap versi PKP datang dengan masalahnya sendiri, terutamanya berkenaan SOP.

Ada perniagaan yang bingung dengan SOP, manakala yang lain mempersoalkan rasional, contohnya, larangan makan dalam restoran, namun premis menjual makan dibenarkan beroperasi hingga 8 malam.

Sementara itu orang ramai membantah percanggahan dalam penguatkuasaan SOP, yang menimbulkan tuduhan layanan pilih kasih membabitkan ahli politik atau selebriti yang melanggarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, kerajaan pada mulanya bertindak balas dengan baik terhadap wabak, namun kini kadar jangkitan dan kematian berbanding populasi negara adalah antara yang tertinggi, walaupun melaksanakan sekatan paling ketat di rantau ini, dengan tiga pusingan PKP.

Katanya, kegagalan pegawai kerajaan dan acara politik mematuhi SOP menjadi antara punca wujudnya defisit kepercayaan dan keruntuhan keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan menangani wabak.

PKP 2.0 dan PKP 3.0 terbukti sia-sia, apabila keparahan wabak di negara ini menjadi jelas, jauh berbanding tahapnya pada Mac 2020.

“Tak boleh asyik laksana langkah yang terbukti gagal dan harap hasil yang berbeza,” kata Azrul kepada FMT.

Tambahnya, terbukti benar ramalan yang menjangkakan trend menaik dalam angka jangkitan dan mungkin tidak akan turun ke tahap yang dilihat “pada masa lalu”.

PKP, katanya, sepatutnya menjadi pilihan terakhir.

Pada tahap kebolehjangkitan semasa, pematuhan ketat terhadap SOP dan amalan kebersihan yang baik mungkin lebih berkesan berbanding PKP, katanya.

Program vaksinasi anjuran kerajaan yang patut dipuji menjadi rahmat, katanya, sambil menambah, ia akan memastikan populasi lebih terlindung daripada jangkitan menjelang akhir tahun.

Ahli ekonomi Geoffrey Williams berkata, ketika PKP pertama dilaksanakan, ia dijangka hanya bagi tempoh singkat dan impak terhadap ekonomi akan dapat ditangani.

Katanya, bahkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan penguncupan pertumbuhan 0.5% atau paling buruk, 2% pada April tahun lalu, sementara Bank Dunia meramalkan bahawa PKP akan dapat ditangani dengan ramalan penguncupan hanya 0.1% bagi 2020.

Bagaimanapun, pada Ogos, BNM menyemak semula ramalan pertumbuhan antara -3.5% dan -5.5%, sementara Bank Dunia menyemak ramalannya menjadi -3.1% pada Jun, kemudian -4.9% pada September.

“Ramalan terbukti silap. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jatuh sebanyak 5.6% tahun lalu dan berkemungkinan sangat buruk tahun ini, kerana PKP telah melenyapkan hampir 150 hari (berniaga) tahun ini, dan sekatan mungkin berlanjutan hingga Disember berdasarkan unjuran kes,” katanya.

Gaji purata dan median masing-masing turun 9% dan 15.6%, sementara 6.3 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam dana persaraan utama mereka.

Kira-kira 3.4 juta orang menganggur atau tidak digunakan sepenuhnya, iaitu 19.8% daripada tenaga kerja, katanya.

“Anggaran kami menunjukkan bahawa ekonomi tidak akan mulai pulih hingga suku pertama 2022 dan tidak akan kembali ke tahap sebelum krisis hingga 2024. Jadi ini adalah satu (proses) pemulihan jangka panjang,” kata Williams.

Beliau berkata, perlu ada titik tengah untuk menyeimbangkan nyawa dan mata pencarian dengan “begitu banyak kelompok hampir kehabisan sumber”.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/01/500-hari-bersama-pelbagai-versi-pkp/

BACA JUGA : Panas !!! Ismail Sabri sahkan surat 40 Ahli Parlimen BN termasuk Najib sokong Muhyiddin