Suasana Padang Besar kini bagaikan ‘pekan berhantu’

Suasana Padang Besar kini bagaikan ‘pekan berhantu’

Sepi dan bagaikan pekan berhantu. Demikian gambaran di arkeb niaga Padang Besar, di sini antara lokasi pelancongan atau ‘syurga’ beli-belah yang cukup popular sebelum pandemik Covid-19.

Jika sebelum ini, arkeb niaga tersebut tidak pernah `tidur’ kerana menjadi tumpuan pelancong dari seluruh negara khususnya pada cuti hujung minggu, kini suasana itu sudah mati.

Difahamkan sejak pandemik, lebih 75 peratus peniaga di situ gulung tikar dan ketika ini hanya tinggal sekitar 12 premis daripada keseluruhan 160 kedai yang masih dibuka.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, peniaga yang masih bertahan lebih banyak termenung di premis masing-masing termasuk pada cuti hujung minggu berikutan ketiadaan pelanggan.

Kegiatan ekonomi di kawasan sempadan tersebut lumpuh sama sekali dan kesannya merebak sehingga melibatkan gerai-gerai makanan yang juga tidak beroperasi kerana tiada pembeli.

Seorang peniaga pakaian dan jersi, Mukhlis Said, 46, berkata, dia yang hanya bergantung hidup dengan pendapatan menjual pakaian buntu memikirkan nasib apabila melihat suasana arkeb yang sunyi sepi itu.

Dia yang sudah 30 tahun berniaga berkata, kesan pada kali ini lebih dirasai berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu khususnya apabila larangan rentas negeri masih dikuatkuasakan.

“Padang Besar ini paling digemari pelancong dari luar Perlis kerana mereka suka datang untuk mendapatkan barangan Thailand yang murah. Apabila tiada pelancong luar, jumlah pembeli yang datang ke sini adalah sedikit. Sekarang kalau nak dapat RM30 hingga RM50 sehari pun agak payah sebab ketiadaan pengunjung.

“Bila PKP pula, kami langsung tidak dapat berniaga dan hanya bergantung pada duit simpanan atau wang pinjaman yang dibuat sebelum ini.

“Selepas PKP pertama, kebanyakan peniaga terpaksa buat pinjaman untuk jadikan modal semula selepas tiga bulan tidak dapat berniaga dan kali ini berlaku lagi, adakah kami perlu buat pinjaman lagi selepas ini walaupun hutang lama belum langsai,” katanya.

Peniaga barangan kelengkapan rumah, Abdul Wahab Abdullah, 29, pula berkata, ramai peniaga yang gulung tikar semasa PKP pertama iaitu daripada kira-kira 300 premis di arked niaga sebelum ini kepada hanya kira-kira 50 premis sahaja ketika ini.

“Walaupun selepas PKP pertama ramai pelancong kembali datang ke negeri ini tetapi mereka tidak sempat nak dapatkan kembali modal,” katanya.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/2021/06/padang-besar-jadi-pekan-berhantu/

BACA JUGA : Tak payah sambung PKP lagi, kami dah penat, luah rakyat