Stesen ECRL di Nilai bakal rancakkan ekonomi, pertumbuhan penduduk

download - 2019-09-24T090815.644.jpg
Pembinaan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kawasan Nilai bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan jumlah penduduk di daerah itu, kata Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Nilai (MPN) Datuk Zazali Salehudin.

Menurut Zazali, justeru sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), perancangan yang teliti perlu dimulakan termasuk melatih pekerja mahir bagi menyokong pembangunan industri yang bakal berkembang di Nilai.

“Kita sebagai PBT perlu mengambil perhatian serius (pembinaan stesen ECRL di Nilai) kerana ia mungkin akan menjadi sistem pengangkutan yang mustahak dan penting dari segi pengangkutan barangan dari Pantai Timur ke Pantai Barat seterusnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang.

“Antara yang perlu diberikan perhatian iaitu kemudahan jalan raya, infrastruktur, tenaga elektrik, bekalan air dan sebagainya haruslah mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik, apatah lagi Nilai berada tidak jauh dari Labu yang merupakan sebahagian daripada projek pembangunan terancang, Lembah Wawasan Malaysia (MVV),” katanya kepada pemberita di sini.

Tambah Zazali yang juga YDP Majlis Perbandaran Seremban, melalui pembangunan industri juga, akan wujud peluang pekerjaan yang lebih banyak dan ia semestinya bakal memanfaatkan penduduk di kawasan sekitar.

“Dengan pembangunan industri, sudah tentu akan wujud banyak pekerjaan, jadi di peringkat kerajaan Negeri Sembilan kita kena ambil peluang ini bagi menyediakan tenaga kerja mahir dalam kalangan penduduk tempatan… Saya fikir sekarang kita sudah boleh rancang gerak kerja atau sediakan pekerja mahir bagi pembangunan industri di sini.

“Bila ada ramai pekerja di kawasan ini mereka akan berkeluarga di sini sekali gus memerlukan perumahan, maka kawasan perumahan baharu juga perlu dirancang bagi menampung keperluan pada masa akan datang,” katanya.

Zazali berkata pertumbuhan penduduk di kawasan ini juga nanti membolehkan PBT mengutip lebih banyak cukai pintu sekali gus membolehkan pihaknya merancang dan memberikan kemudahan infrastruktur yang lebih baik kepada penduduk tempatan.

Ditanya sama ada lokasi stesen ECRL di Nilai sudah diputuskan, Zazali berkata ia bergantung kepada keputusan kerajaan negeri bagi menentukan lokasi sebenar stesen itu, bagaimanapun, mengikut perancangan, stesen itu akan dibina berhampiran kawasan industri.

Rabu lepas, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mengesahkan Nilai akan menjadi perhentian kedua di negeri ini bagi ECRL.

Beliau berkata stesen ECRL berkenaan, yang akan menyediakan perkhidmatan penumpang dan pengangkutan, akan terletak berhampiran Nilai 3.

BERNAMA