Sokong Pertemuan Mujahid dengan Wakil Uyghar Atas Nama Saudara Seagama

1. Isu Uyghur bukanlah isu baru yang mana telah lama kita mendengar mereka dihalang dari menjalani kehidupan & beribadat sebagai Umat Islam sebagaimana kita di Malaysia tetapi disembunyikan dari pengetahuan umum lebih-lebih lagi di luar Negara China.

2. Uyghur bukanlah etnik Cina dan Xin Jiang itu bukan sebahagian daripada China pada asalnya. Uyghur adalah satu Bangsa tersendiri dan mereka lebih hampir kepada orang Turki dan majoriti mereka berbahasa Turki.

3. Asal Xin Jiang ialah Turkistan Timur. Turkistan bermaksud tanah orang-orang Turki. Orang Turki berasal daripada Turkistan.

4. Turkistan dijajah China sejak tahun 1955 dan nama Turkistan Timur kemudiannya ditukar kepada Xin Jiang yang membawa maksud “The New Territory” atau “Wilayah Baru”.

5. Turkistan berbeza dengan China, mereka punya bahasa sendiri, budaya sendiri, malah mereka mempunyai Perlembagaan Negara sendiri dan Bendera sendiri.

6. Selepas ditakluk China, penindasan demi penindasan dialami mereka dan Identiti Islam dilarang ditonjolkan seperti menyimpan janggut bagi lelaki & memakai tudung (menutup urat) bagi perempuan.

7. Ajaran Islam tidak dibenarkan seperti dilarang solat, dilarang berpuasa, semua itu dilarang dan diharamkan seterusnya komuniti Uyghur ditangkap tanpa sebab, dipenjarakan, diseksa, dan dibunuh, selain kaum wanita dirogol.

8. Pembersihan etnik dilakukan dengan kaum Han di bawa masuk beramai-ramai ke Xin Jiang bagi mengurangkan majoriti Uyghur.

9. Sebagai umat Islam yang bersaudara, kesudian YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mujahid Yusuf menerima kunjungan Kongres Dunia Uyghur dan Persatuan Uyghur Amerika pada bulan Januari lepas bagi mendengar sendiri isu sedang dihadapi mereka secara dekat.

10. Langkah YBM Mujahid dilihat tepata atas kapasiti beliau sebagai seorang Menteri Agama yang cakna dan peduli bukan sahaja dengan isu agama dalam negara malah nasib menimpa saudara Islam di luar negara.

11. Tujuan beliau bukan untuk mencampuri urusan diplomatik antara Malaysia dan China, tetapi sebagai individu yang dipertanggungjawab menjaga hal ehwal agama di negara, menerima kunjungan saudara Islam dari luar negara, mendengar dan menzahirkan simpati dan pembelaan terhadap nasib dihadapi mereka.

12. Sebagaimana kita sedia maklum, PM Malaysia YAB Tun Mahathir sangat “outspoken” membela nasib umat Islam Palestin dan yang lain di pentas dunia, terutama berkaitan Negara Haram Israel dan Amerika Syarikat dalam hal melibatkan isu kemanusian, maka sudah tentu mereka (Delegasi Uyghur) melihat Malaysia boleh & memainkan peranan dalam membantu menghentikan kezaliman keatas saudara seagama kita di sana.

13. Dalam laporan Malaysiakini bertajuk “MCA dakwa pertemuan Mujahid- Uyghur campur tangan urusan China” bertarikh 20 Feb 2019 seorang pemimpin MCA Perak Jimmy Loh mengkritik Mujahid cuba campur tangan isu Uyghur apabila beliau menerima kunjungan hormat wakil Uyghur tersebut bulan lalu di pejabatnya.

14. Perlu ditegaskan di sini, sebagai Menteri yang diberi amanah menjaga Hal Ehwal Agama Islam, YBM Dr Mujahid komited TIDAK sama sekali berniat mencampuri hal ehwal diplomatik Malaysia-China selain bertindak mendapatkan maklumat yang benar berkenaan apa sebenarnya berlaku di Xin Jiang.

15. Apakah kerisauan MCA yang mendakwa Mujahid campurtangan urusan diplomatik China-Malaysia satu manifestasi bahawa MCA menyokong kezaliman kepada etnik Uyghur dan apakah pendirian sebenar MCA dalam hal ini? Menyokong penindasan yang berlaku kerana yang ditindas itu Umat Islam?