Seramai 353 nelayan di seluruh negara telah menerima manfaat Skim Insurans Nelayan Berkelompok Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berjumlah RM1.52 juta sehingga Ogos tahun lepas.
Menurut pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil, nelayan yang berdaftar dengan LKIM di bawah Program Elaun Sara Hidup (ESHN) yang berumur 18 tahun hingga 75 tahun sahaja layak menyertai skim itu.
Pada masa ini, seramai 52,399 orang nelayan telah mendaftar di bawah skim perlindungan itu dengan hanya membayar premium RM100 setahun, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau ditemui semasa menziarahi keluarga pasangan nelayan Allahyarham Mohamad Zaini Panjang Karim dan isterinya Allahyarhamah Azizah Yatim yang dipercayai mati lemas setelah terjatuh ke dalam laut semasa memukat ikan di perairan Kuala Perlis pada 5 Jan lepas.
Dalam kunjungan itu, Muhammad Faiz menyampaikan cek Skim Perlindungan dan Kebajikan Nelayan bernilai RM10,000 kepada anak kedua daripada tiga orang anak pasangan itu, Mohamad Noor Affandy, 25.
Turut hadir pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Abdul Hamid Bahari dan timbalan ketua pengarah LKIM (Pengurusan) Raja Khalid Raja Ariffin.
Muhammad Faiz berkata keluarga pasangan nelayan itu juga akan menerima RM150,000 dalam tempoh 30 hari selepas berlaku kematian di bawah Skim Insurans Nelayan Berkelompok.
Sementara itu, Muhamad Noor Afandy berkata kematian serentak ibu dan bapanya mengejutkan beliau, kakak dan adiknya.
“Ketentuan Allah SWT tidak siapa boleh mengelak. Kami terima takdir dengan penuh reda,” katanya yang akan menggunakan sebahagian wang yang diterima bagi membayar upah haji untuk ibu dan bapa mereka.
Muhamad Noor Affandy berkata beliau kini meneruskan pekerjaan sebagai nelayan dan mengambil tanggungjawab menanggung persekolahan adiknya yang belajar di sebuah kolej swasta di Sungai Petani, Kedah.