Skandal tanah LGM : Tiada apa yang perlu disembunyikan, hanya buktikan kebenaran – Ahmad Nazlan

Skandal tanah LGM : Tiada apa yang perlu disembunyikan, hanya buktikan kebenaran – Ahmad Nazlan

Bekas Lembaga Getah Malaysia (LGM) Ahmad Nazlan Idris yang dijadualkan memberi keterangan selama dua hari lagi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tanah melibatkan agensi kerajaan itu berkata ini demi membersihkan namanya sendiri.

Ahli Parlimen Jerantut itu, yang menghabiskan lapan jam di SPRM pada Khamis dan Jumaat, berkata tidak kisah sekalipun ia mengambil masa lebih lama kerana tuduhan tidak adil telah dilemparkan terhadapnya, kononnya terlibat dengan isu tanah berkenaan sedangkan beliau sendiri menentangnya.

Beliau berkata, tuduhan berkenaan bukan saja tersebar di media sosial, malah pengundinya turut memintanya membersihkan namanya kerana mengetahui rekodnya yang selama ini baik.

Nazlan berkata, selepas kontraknya sebagai pengerusi LGM tamat pada 14 April – iaitu setahun lebih awal – beliau telah menemui perdana menteri untuk menjelaskan beberapa perkara, termasuk isu tanah berkenaan yang diketahuinya mencetuskan kegusaran beberapa pihak.

“Perdana menteri mendengar penjelasan saya, namun ketika itu tidak berkata apa-apa,” katanya kepada FMT semalam.

Katanya, beliau menyatakan kesediaan menemui pihak SPRM untuk memberi keterangan di sebelah pihaknya selepas timbul gesaan, termasuk oleh bekas menteri industri utama Teresa Kok, menjelaskan penjualan itu.

“Seperti saya katakan sebelum ini, saya tiada apa-apa untuk disembunyikan dan disebabkan itulah saya bersedia menemui pegawai SPRM untuk memberi penjelasan. Tindakan ini bukan untuk menyusahkan sesiapa, sebaliknya untuk memastikan kebenaran terbukti,” katanya.

Katanya, persoalan berhubung isu tanah itu melibatkan banyak perkara teknikal, yang beliau perlu jelaskan, sambil menambah beliau melihat SPRM juga mahu menyelesaikan siasatan itu secepat mungkin.

Nazlan berkata, beliau dijadualkan untuk hadir sekali lagi ke SPRM hari ini dan esok.

Isu penjualan dan pajakan tanah LGM Properties Corporation (LGMPC) iaitu perbadanan milik LGM, yang dinafikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali telah diluluskan lembaga itu, didedahkan kepada umum selepas salinan cadangan berkenaan tular di media sosial.

Ada dakwaan Khairuddin telah meluluskan pajakan dua lot tanah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur milik LGM di bawah harga pasaran.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan beberapa surat rasmi bertarikh 18 Dis 2020 dan 6 Jan serta 11 Mac tahun ini yang didakwa berkait tanah milik LGM. Khairuddin telah membuat laporan polis berhubung tuduhan berkenaan, selain menghantar surat tuntutan kepada NGO yang menyiarkan dakwaan terbabit.

Nazlan menegaskan Lembaga Pengarah LGM memandang serius isu itu dan telah membentuk tiga pasukan petugas selain mengambil langkah memperbaiki pengoperasian LGMPC.

Nazlan berkata menteri itu terlibat dalam isu terbabit, dan menafikan beliau sendiri mempunyai kaitan dengan skandal itu, sebaliknya menegaskan kontraknya telah ditamatkan pada masa itu.

Katanya juga, beliau baru-baru ini dimaklumkan mengenai pelantikannya sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia oleh menteri dan setiausaha agung menteri berkenaan. Bagaimanapun, beliau menolak jawatan itu.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/05/2-hari-lagi-di-sprm-demi-bersihkan-nama-kata-ahmad-nazlan/