Skandal tanah LGM : “Seseorang tidak dianggap bersalah selagi ia tidak dibuktikan bersalah”, kata Tuan Ibrahim

Skandal tanah LGM : “Seseorang tidak dianggap bersalah selagi ia tidak dibuktikan bersalah”, kata Tuan Ibrahim

PAS menganggap kenyataan Nur Jazlan Mohamed yang menggesa Umno menamatkan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional dalam menghadapi PRU15 sebagai “di luar kerangka Umno”.

Malah, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man menepis kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Johor itu sebagai “bukan mewakili kepimpinan tertinggi Umno”.

“Dalam Perhimpunan Agung Umno hampir semua bahagian telah membuat pendirian mengekalkan hubungan dengan PAS,” katanya kepada FMT.

Jazlan pagi tadi menggesa partinya menamatkan kerjasama dengan PAS, mengatakan Umno tidak lagi boleh mengharapkan parti Islam itu bersikap ikhlas dalam mendukung tanggungjawab sebagai sekutu dalam MN.

Menurutnya, Umno telah lama menyimpan syak terhadap pemimpin PAS yang akhir-akhir ini “kelihatan lebih berminat untuk memperoleh kuasa dan kedudukan, malah dalam keadaan tertentu, wang”.

Selain menuduh PAS “dari dahulu hingga sekarang” gagal mempamerkan tadbir urus baik di beberapa negeri pimpinannya, Jazlan berkata “ada beberapa dakwaan yang cukup serius” dalam kontroversi rancangan pajakan dan jualan tanah milik Lembaga Getah Malaysia yang berada bawah bidang kuasa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali – pengarah strategi PAS.

Berhubung kontroversi sekitar tanah milik LGM, Tuan Ibrahim berkata, “prinsip PAS jelas: seseorang tidak dianggap bersalah selagi ia tidak dibuktikan bersalah.”

Mengenai kerjasama dengan Umno pula, Tuan Ibrahim berkata partinya melihat ia dalam kerangka penyatuan ummah, bukan hanya soal pertandingan kerusi pilihan raya.

“Apa makna kalau ummah ini berpecah, dan semua akan berhadapan dengan kerugian, menang sorang kampung tergadai,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/04/gesaan-tamat-kerjasama-nur-jazlan-tak-wakili-kepimpinan-tertinggi-umno-kata-timbalan-pres-pas/