Skandal 1MDB : Deloitte pula setuju bayar balik RM324 juta sebagai penyelesaian

Skandal 1MDB : Deloitte pula setuju bayar balik RM324 juta sebagai penyelesaian

Deloitte PLT bersetuju dengan penyelesaian berjumlah USD80 juta (RM324 juta) untuk menyelesaikan semua tuntutan berkaitan tugas fidusiarinya mengaudit akaun 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Menurut Kementerian Kewangan, penyelesaian dengan Deloitte itu ialah penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz berkata, penyelesaian itu menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha pemulihan berterusan kerajaan terhadap pihak terbabit dalam 1MDB, SRC dan entiti berkaitan dengannya.

“Kerajaan Malaysia berazam memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap individu atau entiti yang terbabit, secara langsung atau tidak langsung, dalam skim global 1MDB,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penyelesaian di luar mahkamah dengan Deloitte itu akan mempercepatkan pembayaran untuk memenuhi kewajipan tertunggak 1MDB dan SRC, “yang sebaliknya akan tertangguh akibat proses mahkamah yang mungkin berpanjangan dan mahal”.

Penyelesaian Deloitte menyusul beberapa hari selepas Putrajaya mengumumkan penyelesaian berjumlah RM2.8 bilion dengan AMMB Holdings Bhd ke atas semua tuntutan tertunggak dan tindakan berkaitan pembabitan Kumpulan AmBank dalam skandal 1MDB.

Kemudiannya, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, yang merupakan pengkritik lantang skandal 1MDB, menggesa kerajaan mencapai penyelesaian dengan pengaudit 1MDB, KPMG dan Deloitte Malaysia.

Julai tahun lalu, Goldman Sachs bersetuju dengan penyelesaian berjumlah USD3.9 bilion untuk menyelesaikan tunggakan baki dakwaan dan tuntutan berkaitan tiga transaksi bon yang diatur syarikat itu bagi 1MDB.

“Penyelesaian ini tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low dan pihak lain berkaitan dengannya, dan yang masih giat dicari berhubung dengan skandal 1MDB,” kata Tengku Zafrul merujuk ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/03/selepas-ambank-deloitte-capai-penyelesaian-rm324-juta-dengan-putrajaya/