Siri 1: Krisis Dalam PAS dan Kemunculan G18

Krisis dalaman PAS yang tercetus sejak 2008 sehingga kemuncaknya pada 2015, yang berakhir dengan penubuhan Parti Amanah Negara, adalah satu sejarah penting dan menjadi sebahagian babak utama kisah politik negara dalam dua dekad itu.

Bibit perpecahan mula berlaku di dalam PAS sejurus selepas PRU12 pada tahun 2008 di mana parti-parti pembangkang PAS, PKR dan DAP berjaya menguasai 5 buah negeri di Semenanjung Malaysia dan membentuk kolisi politik baharu, Pakatan Rakyat.

Banyak faktor yang menyumbang kepada perpecahan dan krisis dalaman ini, tapi faktor utama adalah kegagalan PAS menerima cabaran baharu dalam kolisi politik pelbagai kaum dengan PKR dan DAP.

Krisis bermula pasca PRU 2008 dengan perselisihan samada perlukah PAS berunding dan muqabalah (asalnya muzakarah) dengan UMNO walaupun setelah menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.

Muktamar PAS 2008 di Ipoh menyaksikan bagaimana perwakilan menyerang pimpinan-pimpinan yang dikatakan bercanggah dengan Presiden kerana menentang muqabalah PAS-UMNO pada ketika itu.

Saya masih ingat Salahuddin Ayub yang ketika itu Ketua Pemuda PAS menyuarakan pada saya rasa kesal dan terkilan beliau dengan sikap perwakilan pemuda sehinggakan beliau menyatakan niat untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda.

Kemudiaannya wujud blog-blog yang menyerang dan menuduh pemimpin-pemimpin sebagai tidak taat kepada Presiden dan kumpulan ini digelar dengan gelaran Erdogan. Mereka termasuk Husam Musa, Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Dr Hatta, Khalid Samad dan lain-lain.

Begitulah krisis dan perselisihan pimpinan dan ahli PAS berterusan dalam soal berkaitan sikap politik PAS terhadap UMNO dan komitment PAS terhadap kolisi Pakatan Rakyat sepanjang 2008 hingga 2013. Pelbagai isu yang timbul silih berganti. Dan setiap kali timbulnya maka wujudnya perselisihan yang tajam antara dua kelompok pemikiran dalam PAS.

Pasca 2013, krisis dalaman PAS melonjak kepada fasa yang lebih kritikal. Fenomena fitnah memfitnah menjadi sangat buruk di dalam PAS. Bukan sahaja di blog, portal, facebook dan kedai kopi, malah program-program parti juga menjadi medan memburuk-burukkan pimpinan. Kesan perpecahan ini sudah mula terlihat sepanjang Muktamar PAS 2014 di Batu Pahat, Johor.

Pada masa ini tiada lagi kemanisan ukhuwwah di dalam PAS. Setiap pemimpin PAS di peringkat atas, pertengahan dan bawah dan setiap ahli dilihat identiti mereka mengikut arah sokongan mereka di dalam perpecahan parti.

Pemimpin yang tidak lagi menyokong kolisi Pakatan Rakyat dilihat cuba mengheret parti semakin jauh dan renggang dari Pakatan Rakyat. Konflik antara-parti tidak dibendung dengan cermat, malah sengaja mengundang ke arah lebih retak. Provokasi antara PAS dan DAP, juga PKR tidak boleh dibendung lagi.

Pada peringkat ini, halatuju PAS sudah kelihatan tidak jelas samada ingin terus bersama Pakatan Rakyat atau sebaliknya. Pimpinan dan pengikut sudah saling bercakaran, masing-masing membuat kenyataan umum menyanggahi satu sama lain.

Pemimpin-pemimpin PAS yang komited dengan agenda Pakatan Rakyat dan berusaha merapatkan jurang antara parti dilabel sebagai anti ulama, liberal, jebon, Anwarinas, barua DAP dan lain-lain lagi.

Mereka semakin lama semakin dipinggir oleh kumpulan pro-ulama. Dalam satu temubual, Ketua Dewan Ulama PAS menyuarakan rasa tidak senang dengan pengaruh kumpulan profesional dalam Jawatankuasa PAS Pusat, dan membayangkan harapannya untuk melihat AJK PAS Pusat dikuasai oleh lebih ramai ulama, ujarnya “Bila banyak ulama dalam AJK PAS Pusat, kemudian dibantu pula oleh golongan proulama dalam Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat maknanya hala tuju akan datang lebih jelas, satu arah, satu matlamat, apabila semua macam itu, ia akan memudahkan kerja. Sekarang ini saya terus terang, golongan profesional dominan, dia kuat dan boleh beri fakta-fakta menyebabkan keputusan tidak boleh dibuat.” – Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Akhirnya, menjelang Muktamar PAS Pusat, Muktamar Dewan Ulama PAS 2015 meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP.

Beberapa hari selepas itu, kumpulan pemimpin yang mempertahankan Pakatan Rakyat ditendang keluar secara berkumpulan dalam pemilihan parti pada 4 Jun 2015 dalam Muktamar Tahunan PAS. Kumpulan ini kemudiannya digelar kumpulan “G18”.

-bersambung…

Sabki Yusof
Setiausaha Pemuda PAS Pusat 2003-2009
Naib Ketua Pemuda PAS Pusat 2009-2011
Penolong Setiausaha Agung PAS 2011-2013