Penduduk Sungai Kedondong, Paya Jaras, Sungai Buloh dekat sini yang rumah mereka dirobohkan pada 18 September lepas dialu-alukan mengambil tindakan undang-undang sekiranya rumah yang dirobohkan itu mempunyai geran tanah seperti didakwa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kononnya terdapat rumah penduduk yang dirobohkan itu mempunyai geran tanah yang sah dan kerajaan negeri bertindak kejam kerana tidak memberi pampasan tunai.
“Mereka yang mendakwa mempunyai geran saya saran supaya ambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan negeri jika apa yang kita buat ini salah di sisi undang-undang, tunjukan geran itu.
” Daripada 92 rumah itu, hanya satu rumah saja yang mempunyai geran dan rumah itu tidak terbabit dalam kawasan bagi pelebaran Sungai Kedondong untuk projek tebatan banjir,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Kain Rentang Misi Everest Base Camp Trekking Challenge 2019 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa terdapat pemilik rumah yang dirobohkan oleh kerajaan negeri pada Sept lepas memiliki geran tanah.
Tambah beliau lagi penduduk yang terlibat tidak sepatutnya menggunakan media sosial seperti Facebook untuk menyebarkan perkara yang tidak benar mengambarkan seolah-olah kerajaan negeri tidak memikirkan kebajikan penduduk.
“Jika betul penduduk mempunyai geran, pergi ke mahkamah dan buktikan, jika betul mereka boleh tuntut ganti rugi daripada kerajaan negeri, jangan hanya viralkan dalam Facebook dakwa ada geran,” katanya.
Tambah Khairuddin lagi, kerajaan negeri perlu memikirkan kepentingan majoriti penduduk di kawasan berkenaan yang berdepan dengan masalah banjir kilat sejak sekian lama.
“…dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk selesaikan perkara itu,” katanya.
BERNAMA