Sidang Parlimen September mungkin hadkan kehadiran MP – Timb Speaker

Jumlah kapasiti individu termasuk bilangan Ahli Parlimen untuk menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang dijadualkan bermula 6 September ini akan diteliti, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Beliau berkata ia bagi memastikan kelancaran persidangan Parlimen dan mengelakkan kejadian penularan Covid-19 berlaku, seperti yang terjadi pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat hujung Julai lalu.

Bagi tujuan itu, katanya Jawatankuasa Dewan Rakyat akan berbincang dengan ketua-ketua whip parti kerajaan dan pembangkang dalam tempoh terdekat berdasarkan nasihat yang akan dikemukakan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

MESYUARAT Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat  terpaksa ditangguhkan berikutan berlaku penularan jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA

“Seperti sebelum ini, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan panggil semua ketua-ketua whip daripada parti kerajaan dan pembangkang untuk berbincang (jumlah kehadiran Ahli Parlimen).

“Belajar daripada apa yang berlaku pada sidang khas Dewan Rakyat baru-baru ini, kita perlukan langkah pencegahan yang lebih mantap,” katanya kepada Bernama selepas program serahan Bantuan Bakul Makanan kepada 50 artis veteran anjuran Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di Desa Melawati, di sini, hari ini.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung pada 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos, hanya bersidang selama empat hari dan terpaksa ditangguhkan berikutan berlaku penularan jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen.

Sehingga 8 Ogos, sebanyak 88 kes positif wabak berkenaan dikesan membabitkan individu yang menghadiri sidang khas itu.

Mengenai usul percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan dibawa ke sidang Dewan Rakyat pada September, Mohd Rashid berkata pihak Parlimen belum menerima usul berkenaan.

“…kita belum terima lagi setakat hari ini. Bagi usul kerajaan tempoh penghantarannya tidak terlalu jauh dari tarikh persidangan berbanding usul peribadi yang perlu dihantar dalam tempoh 14 hari sebelum bersidang,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin menegaskan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.

Dalam pada itu, Mohd Rashid berkata, notis pemberitahuan kepada Ahli Parlimen dalam proses untuk diedarkan bagi membolehkan mereka menyediakan soalan untuk sesi soal jawab lisan dan lain-lain.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 hingga 30 September 2021, manakala Mesyuarat Kedua pula berlangsung selama 32 hari mulai 25 Oktober hingga 16 Disember 2021.

Istiadat pembukaan sidang Dewan Rakyat akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 6 September.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/740931/parlimen-had-kehadiran-individu-termasuk-ahli-parlimen-diteliti

BACA JUGA : Tangguhkan dahulu kelonggaran, beri tumpuan vaksinasi