Sidang parlimen penting untuk tentukan keabsahan PM, isu ekonomi – MP Pejuang

Sidang parlimen penting untuk tentukan keabsahan PM, isu ekonomi – MP Pejuang

Menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong yang telah menitahkan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat YAB Perdana Menteri. Titah Baginda ini jelas meraikan demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan.

YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada alasan lagi untuk tidak memastikan sidang Parlimen diadakan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Di samping itu, kami juga bersependapat dengan pandangan bahawa, DYMM Yang diPertuan Agong tidak perlu mendapat nasihat daripada Perdana Menteri untuk memanggil sidang Parlimen kerana kuasa itu terletak di tangan Seri Paduka Baginda semasa negara dalam tempoh darurat.

Tambahan pula, keabsahan (legitimacy) YAB Perdana Menteri dipertikaikan dan dengan itu beliau tidak lagi layak untuk menasihatkan DYMM Yang di-Pertuan Agong. Ini telah kami timbulkan semasa YAB Perdana Menteri menasihatkan DYMM Yang diPertuan Agong untuk menitahkan proklamasi darurat.

Kami berharap persidangan Parlimen kali ini dapat dijalankan sepenuhnya dan bukannya persidangan sehari seperti yang dilakukan pada 18 Mei tahun lalu. Persidangan ini perlu mengikut takwim asal tanpa memendekkan sesi persidangan.

Ini amat penting memandangkan bukan sahaja keabsahan Perdana Menteri dipertikai, malah masalah ekonomi, pandemik COVID-19 dan pentadbiran yang kucar-kacir telah mengakibatkan kesusahan dan keresahan di kalangan rakyat.

Persidangan Parlimen amat diperlukan dalam keadaan sekarang bagi membahaskan isu COVID-19 dan vaksinasi, pendidikan anak-anak serta langkah untuk mengelakkan pilihan raya diadakan dalam tempoh pandemik ini.

Semoga Allah SWT permudahkan urusan negara tercinta ini.

YB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Ahli Parlimen Langkawi

YB DATO’ SERI UTAMA MUKHRIZ BIN TUN MAHATHIR
Ahli Parlimen Jerlun

YB SENATOR DATUK WIRA HAJI MARZUKI BIN YAHYA
Ahli Dewan Negara

DATO’ WIRA AMIRUDDIN BIN HAMZAH
Ahli Parlimen Kubang Pasu

DATUK SHAHRUDDIN BIN MD SALLEH
Ahli Parlimen Sri Gading

Kenyataan Media Ahli Parlimen PEJUANG 25 Feb 2021 (1)