Sidang Khas Parlimen dibuat secara bersemuka – Timb Speaker

Sidang Khas Parlimen dibuat secara bersemuka – Timb Speaker

Sidang Khas Parlimen yang bakal diadakan dalam masa terdekat dijangka dilakukan secara bersemuka, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Beliau berkata persidangan Parlimen kali ini bukan persidangan yang lazimnya mengikut jadual penggal, sebaliknya bagi membincangkan isu COVID-19 dan masalah rakyat.

Katanya, persidangan Parlimen mengikut penggal memerlukan notis 28 hari sebelum sesuatu persidangan boleh bermula.

“Ini bukan sidang Parlimen biasa kerana Sidang Khas Parlimen kali ini akan dibuka secepat mungkin… dalam masa terdekat.

“Sidang Khas Parlimen kali ini dijangka akan diadakan secara bersemuka, namun perinciannya masih belum dimuktamadkan. Ia akan dimuktamadkan dahulu sebelum pengumuman rasmi dibuat.

“Oleh itu, petang ini Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun akan mengadakan mesyuarat secara hibrid bagi membincangkan isu ini bersama Jawatankuasa Pemandu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata, ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Pagi tadi, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Azhar Azizan serta Mohd Rashid di Istana Negara.

Yang turut menghadap, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, timbalannya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/833557/sidang-khas-parlimen-dijangka-secara-bersemuka-rashid

BACA JUGA : Panas !!! Ahli ekonomi dedah kesan berantai jika PKS tidak dibantu