Sidang Kemuncak KL 2019 tiada hasrat ambil alih peranan OIC

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 tidak berhasrat untuk mengambil alih peranan yang dimainkan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Dr Mahathir berkata beliau mengambil peluang untuk menjelaskan perkara itu kepada Raja Salman Abdulaziz Al Saud dalam persidangan video dengan Raja Arab Saudi itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, venue Sidang Kemuncak KL 2019 yang akan berlangsung dari esok sehingga Sabtu ini.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi persidangan video berkenaan, Dr Mahathir berkata Malaysia terlalu kecil utnuk berbuat demikian.

Untuk rekod, antara matlamat penganjuran Sidang Kemuncak KL 2019 adalah untuk berbincang dan mencari penyelesaian baharu dan berkesan, dalam menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu dunia Muslim, dan berusaha menghidupakan semula tamadun Islam.

“Saya katakan bahawa jika Arab Saudi menganjurkan sidang kemuncak untuk berbincang perkara yang sama, kami sedia untuk kesana,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata dalam sidang video itu juga, Raja Salman turut menerangkan kepadanya faktor baginda tidak dapat menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.

Dr Mahathir berkata Raja Salman berpendapat isu-isu melibatkan umat Islam lebih baik dibincangkan dalam mesyuarat penuh OIC berbanding dibincangkan oleh beberapa negara sahaja.

“Baginda berpendapat perkara seperti ini tidak sepatutnya dibincangkan antara dua atau tiga negara sahaja, patut ada mesyuarat OIC dan saya bersetuju dengannya,” katanya.

Ditanya sama ada beliau tidak akan meneruskan sidang kemuncak itu pada masa akan datang, perdana menteri berkata ia telah diadakan beberapa kali sebelum ini tanpa melibatkan semua negara Islam.

“Kita ada perbincangan cendekiawan, dan ia okey. Tetapi yang ini kita nak besar sikit dan kita tak nak orang kata kita tak jemput,” katanya.

Dalam kenyataan terdahulu, pejabat Perdana Menteri berkata Sidang Kemuncak KL yang memasuki edisi kelima, merupakan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan, yang disokong oleh kerajaan Malaysia.

Terdahulu Dr Mahathir dijangka menghadiri sesi dialog Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur, yakni acara pemulaan kepada Sidang Kemuncak KL 2019, namun sesi itu tidak dapat diadakan disebabkan persidangan video beliau dengan Raja Salman.