Siasatan kes Menteri ‘Hud Hud’ langgar kuarantin hampir selesai – PDRM

Siasatan terhadap Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali dalam kes ingkar kuarantin wajib pada bulan lalu hampir selesai, kata Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ, DCP Mior Faridalathrash Wahid.

Mior berkata, kertas siasatan kes itu akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.

“(Masih) dalam siasatan, kita akan rujuk IP (kertas siasatan) ke AGC dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Khairuddin yang juga anggota Parlimen Kuala Nerus disiasat kerana melanggar kuarantin wajib selepas kembali dari Turki 7 Julai lalu.

Pada 28 Ogos, dia dipanggil bagi memberi keterangan di Bukit Aman berhubung kesalahan itu selepas 27 laporan polis dibuat terhadapnya.

Perkara itu mula menjadi perhatian setelah pendedahan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok pada 18 Ogos di Dewan Rakyat.

Keesokannya Kementerian Kesihatan menyatakan pihaknya sedang menyiasat dakwaan tersebut.

Bagaimanapun kementerian itu pada 22 Ogos memaklumkan Khairuddin telah dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos.

Kementerian itu berkata dia didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].

Pada hari sama Khairuddin juga membuat permohonan maaf dan berikrar untuk menyumbang gajinya sejak Mac hingga Ogos kepada tabung bantuan Covid-19.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/541065

COMMENTS

Wordpress (0)