1. Isu pentadbiran masjid agak hangat dalam seminggu dua ini. Dari perihal pertukaran imam, penjawatan baru, lantikan termasuklah hak mengajar di masjid-masjid kerapkali menjadi isu tidak mengira negeri.
.
2.Untuk di Melaka, Alhamdulillah tidak menjadi polemik yang besar melainkan pada peringkat pencalonan sahaja ada satu dua masjid yang melakukan demonstrasi akibat tiada pencalonan dari pihak mereka, yang mengakibatkan hanya ada seorang sahaja calon pengerusi yang bertanding.
.
3.Peralihan kuasa dari pengerusi masjid kepada imam-imam yang dilantik sebagai pentadbir sementara juga berjalan dengan tenang tanpa ada kekecohan yang berlaku. Ada juga kalangan pentadbir sementara ini yang dilantik dalam kalangan MPKK dan sidang kampung.
.
4.Ini berikutan bagi menunggu proses temuduga dan lantikan pengerusi masjid yang baru selesai seterusnya mengambilalih pentadbiran masjid dari pentadbir sementara.
.
5.Namun, antara perkara yang menjadi isunya ialah mengenai laporan masjid yang tidak tepat tanpa ketelitian yang menyeluruh. Ada masjid yang rekodnya bermasalah sehingga tidak dikesan dimana wang masjid dibawa pergi.
.
6.Malah kita tidak menolak isu ketirisan juga turut berlaku. Antaranya pendingin hawa 2.5HP tapi dibayar dengan harga 3.5HP, tuntutan dari pihak kontraktor kepada pihakmasjid yang bernilai ratusan ribu, bayaran tertangguh kepada pihak-pihak yang menguruskan program, pembelian barangan yang tak diperlukan seperti jubah imam yang terlalu mahal, AJK-AJK masjid yang memegang wang masyarakat kampung pada tangan yang terlalu banyak dan lain-lain lagi.
.
7.Terlalu banyak laporan permasalahan yang diterima. Lebih mengejutkan ini sekitar 2-3 masjid sahaja dan bukannya 1 negeri. Pentadbir sementara harus meneliti dokumen dan rekod yang sedia ada untuk diserahkan kepada pengerusi masjid yang akan dilantik pada masa akan datang bagi audit rasmi.
.
8.Ini sangat mengecewakan kerana institusi masjid yang mulia telah dirosakkan pengurusannya oleh tangan-tangan yang bobrok. Lebih menyedihkan wang yang diterima kebanyakkannya dari masyarakat sekitar kampung yang memberi derma mahupun sedekah.
.
9.Itulah pentingnya perubahan terhadap masjid ini perlu dilakukan. Memetik titah baginda Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada awal era perkembangan Islam, masjid memenuhi pelbagai peranan sebagai pusat pemerintahan, pentadbiran dan kehakiman di samping berfungsi sebagai pusat perkembangan sahsiah, ilmu, budaya dan tamadun.
.
10.Besar harapan kami untuk institusi masjid di Melaka ini dapat membuat perubahan demi manfaat yang lebih besar. Juga kami meminta supaya audit rasmi untuk setiap masjid dapat dibuat dan dilaksanakan bagi melihat pengurusan yang beretika serta teratur.
.
MELAKA BERWIBAWA
Pintar. Hijau. Bersih.
.
Mohd Fadli Bin Hassan
Pegawai Perhubungan
Majlis Agama Islam Melaka