Siapa PM? Ahli Parlimen Umno serah kepada kebijaksanaan Agong

Semua parti dan ahli politik perlu menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan krisis politik yang berlaku susulan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ketika ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya yakin Yang di-Pertuan Agong tidak akan berpihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya akan membuat keputusan terbaik demi kepentingan rakyat terutama pada saat krisis pandemik Covid-19 ketika ini.

Jelas beliau, Istana Negara juga merupakan tempat rujukan ahli-ahli Parlimen bagi menyelesaikan polemik politik yang berlaku dengan Perlembagaan Persekutuan sudah menetapkan beberapa perkara yang termaktub dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong termasuk urusan pembentukan kerajaan baharu.

ahli

 

Justeru, Ahmad Jazlan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan soal siapa bakal menggantikan Muhyiddin selaku Perdana Menteri atau bentuk kerajaan baharu kelak, biarlah diputuskan oleh Seri Paduka Baginda.

“Jangan menidakkan peranan dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan kemelut politik sedia ada.

“Sekiranya kita tidak hormat bidang kuasa Raja-Raja, seolah-olah kita tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan hari ini sudah jelas tiada majoriti, justeru soal siapa jadi Perdana Menteri dan bentuk kerajaan baharu kelak, saya yakin Yang di-Pertuan Agong akan membuat keputusan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemelut politik semasa, susulan pengumuman oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang turut mengulangi peringatan kepada semua pihak bahawa keputusan UMNO untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN adalah disebabkan parti itu tidak mahu bersekongkol dengan kerajaan gagal seperti PN.

Jelas beliau lagi, UMNO juga bukan merupakan sebuah parti politik yang gila kuasa pada saat negara berdepan dengan krisis pandemik Covid-19 yang semakin memuncak.

“Jangan sesekali buat tafsiran hanya mengikut selera lidah kita. Oleh kerana UMNO tidak mahu dianggap bersekongkol dengan kerajaan gagal seperti PN, maka kami sanggup lepaskan jawatan dalam kerajaan untuk tarik sokongan terhadap Muhyiddin.

“Kalau ada suara kata, orang politik masih sibuk berpolitik pada saat Covid-19 semakin serius, itu pandangan tidak betul.

“Itu juga persepsi yang cuba dimainkan pihak kerajaan seolah-olah tindakan ahli politik seperti kami bertujuan mahu menganggu gugat negara,” katanya lagi.

Ahmad Jazlan turut menjelaskan peranan orang politik sememangnya sangat besar dalam mencorakkan apa sahaja bentuk urus tadbir negara untuk dilaksanakan para penjawat awam.

Justeru, beliau berpandangan apabila kerajaan sedia ada dianggap gagal menguruskan negara dengan baik dan tidak memberi rasa kesejahteraan kepada rakyat, sememangnya menjadi kewajiban kepada pemimpin politik untuk membetulkan keadaan.

“Kena ingat polisi penyelesaian krisis Covid-19 juga ditentukan oleh orang politik dengan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sendiri juga terdiri daripada orang politik.

“Kalau pihak pemerintah terdiri daripada orang politik sendiri menyusun urus tadbir negara dengan baik dengan nikmatnya dapat dirasakan oleh rakyat, tiada siapa akan pertikai. Namun persoalannya, adakah rakyat rasa kerajaan mengurus tadbir negara dengan baik ketika ini?

“Sebab itu perubahan kepimpinan dan bentuk kerajaan perlu dilakukan dan sememangnya menjadi tanggungjawab ahli-ahli politik untuk merealisasikannya ke arah pembentukan kerajaan lebih efisien,” katanya.

Berita Penuh : https://premium.sinarharian.com.my/article/152930/fokus/semasa/soal-siapa-pm-serah-kepada-kebijaksanaan-agong-jazlan

BACA JUGA : Panas !!! Salahguna kuasa projek RM1 Bilion, laporan SPRM dibuat terhadap MB Kedah