Siapa ambil alih? Selesaikan dahulu keabsahan PM – Mujahid

Siapa ambil alih? Selesaikan dahulu keabsahan PM.

Soal Pakatan Harapan (PH) bersedia atau tidak untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan tidak timbul buat masa ini, tegas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu buat masa kini ialah polemik tentang teras demokrasi berparlimen – iaitu majoriti sokongan Ahli Parlimen merupakan asas kepada keabsahan kerajaan sedia ada.

siapa

Mujahid berpandangan apa yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu buat masa kini ialah polemik tentang teras demokrasi berparlimen iaitu majoriti sokongan Ahli Parlimen merupakan asas kepada keabsahan kerajaan sedia ada. 

Tegasnya lagi, semua pihak sedia maklum Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah hilang keabsahan selepas 14 Ahli Parlimen dari UMNO tidak lagi menyokong beliau, dan soal asas demokrasi itu yang sedang dipertahankan PH.

“Kita hanya berbicara di sini Tan Sri Muhyiddin dan Kerajaan Perikatan Nasional, walaupun tidak dilakukan di Parlimen, tetapi apabila kita melihat angka terbukti beliau kini tinggal 100 sahaja lebih kurang yang menjadi blok menyokong Kerajaan.

“Hampir 120 (Ahli Parlimen) itu telah menolak kepimpinan Kerajaan Muhyiddin. Isunya kita selesaikan dulu dari sudut teras demokrasi, berpandukan keabsahabn kerajaan dilihat kepada majoriti di Parlimen. Itu pandangan saya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

UMNO pada Isnin mengesahkan dua warkah telah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masing-masing bertarikh 30 Julai dan 4 Ogos lalu.

Menerusi laporan portal UMNO Online, kedua-dua warkah tersebut ditandatangani Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Memetik surat bertarikh 30 Julai, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memaklumkan warkah tersebut diutuskan kepada Al-Sultan Abdullah bertujuan mempersembahkan Surat Akuan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang membuat perakuan menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Ahmad Zahid lagi, pendirian itu seiring dengan keputusan UMNO yang diputuskan melalui resolusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Julai lalu.

Sehari selepas UMNO menyatakan parti itu telah menghantar surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menolak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, giliran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) pula mengesahkan perkara sama.

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin pada Selasa memaklumkan, semua Ahli Parlimen parti itu telah menghantar surat akuan tersebut kepada Seri Paduka Baginda pada petang semalam (Isnin).

Muhyiddin dalam Perutusan Khasnya pada 4 Ogos lepas memaklumkan Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk beliau menentukan keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, beliau sebagai seorang ahli legislatif berpandangan adalah menjadi tanggungjawab semua Ahli Parlimen untuk memperakui teras demokrasi, iaitu jumlah sokongan sebenar terhadap Perdana Menteri.

“Kerana persoalan (terhadap keabsahan Kerajaan Persekutuan) terletak di situ,” katanya lagi.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/soal-ph-ambil-alih-kerajaan-belum-timbul-selesaikan-dahulu-isu-majoriti-sokongan-kepada-pm-mujahid-313312

BACA JUGA : Sidang Parlimen September mungkin hadkan kehadiran MP – Timb Speaker