Shafie minta kerajaan telus dalam perkongsian data Covid-19

Shafie minta kerajaan telus dalam perkongsian data Covid-19.Kesiapsiagaan Kerajaan menguruskan pandemik adalah bergantung kepada data dan maklumat yang tepat dan komprehensif. Pada 1 September 2021 yang lalu, Menteri Kesihatan YB Khairy Jamaluddin telah memberi jaminan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan lebih telus dalam menyalurkan data mengenai wabak Covid-19. Namun demikian, sejak kebelakangan ini, data yang disalurkan kepada umum banyak yang mengelirukan dan tidak lagi jelas seperti sebelumnya. Ini dapat dilihat dalam pemberitahuan maklumat dan data yang dikeluarkan oleh KKM sejak beberapa minggu lalu.

2. Didapati bahawa data dan maklumat yang dipamer kepada orang awam tidak lagi diberikan dalam bentuk infografik dengan maklumat yang terperinci sebagaimana sebelum ini. Maklumat juga tidak disalurkan pada laman web dan media sosial KKM, sebaliknya telah dipindahkan kepada laman pihak ketiga iaitu CovidNow dan Github. Laman Github pula memerlukan akses secara berdaftar sebelum boleh mendapatkan dan menggunakan maklumat yang ada. Tanpa maklumat tepat dan telus, boleh menimbulkan persepsi Kerajaan cuba mempolitikkan data wabak ini bagi menunjukkan keadaan adalah terkawal.

3. Sebagai contoh, sejak bulan Julai yang lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan arahan bahawa semua pesakit baru yang dijangkiti Covid 19 perlu menjalani kuarantin di rumah. Dalam masa yang sama, hebahan demi hebahan dibuat dengan mengatakan bahawa penggunaan kemudahan kesihatan awam makin menurun. Hospital dikatakan makin lapang dan kurang sibuk berbanding dulu. ICU juga tidak lagi penuh. Namun demikian, adalah dikhuatiri bahawa situasi ini tidak menggambarkan keadaan sebenar memandangkan kes kematian dan Brought-In-Death (BID) sangat tinggi berbanding 2 bulan lepas.

 kerajaan

4. Untuk makluman, pada 11 September 2021, sebanyak 239,351 kes positif yang aktif telah direkodkan di mana 83.3% daripadanya menjalani kuarantin kendiri di rumah. Pada tarikh yang sama sebanyak 592 kematian dilaporkan, tertinggi sejak wabak bermula dan angka ini termasuk 88 kes BID. Data-data ini menunjukkan bahawa pengurusan wabak tidak dibuat sepenuhnya oleh Kerajaan dan rakyat dibebankan untuk membuat kuarantin dan penjagaan sendiri di rumah. Lebih membimbangkan dengan jumlah kematian dan BID yang tinggi adalah mungkin kerana mereka ini tidak mempunyai akses kepada jagaan kesihatan yang sepatutnya disediakan oleh Kerajaan.

5. Kerajaan adalah disarankan untuk meneliti dan merombak semula polisi kuarantin kendiri ini agar rakyat yang positif mendapat jagaan sewajarnya oleh sistem kesihatan awam negara. Secara tidak langsung ini dapat mengelakkan lebih banyak kematian dan BID pada masa akan datang dan sekiranya tidak dilakukan, kita khuatir ia bakal merumitkan lagi kesiapsiagaan negara mencapai fasa endemik nanti.

6. Dalam masa yang sama, adalah juga disarankan sistem kesihatan awam diperkasakan dengan lebih banyak bantuan dan dana diberi bagi membolehkan hospital berfungsi secara maksima. Di samping itu juga, Kerajaan perlu meningkatkan kapasiti sistem kesihatan negara untuk menerima lebih ramai pesakit supaya dapat dikuarantin di hospital, bukannya di rumah sebagaimana situasi yang berlaku pada waktu ini.

7. Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian adalah mengenai kadar kematian yang tinggi kebelakangan ini. Pada 11 September 2021, sebanyak 592 kematian direkodkan di mana merupakan kes kematian tertinggi sejak wabak Covid-19 direkodkan 2 tahun lalu. Namun demikian, KKM menjelaskan rekod tersebut tidak menggambarkan kes kematian sebenar memandangkan terdapat banyak kes kematian tertunggak (backlog) yang dilaporkan bukan pada tarikh kematian.

8. Kementerian Kesihatan Malaysia juga menyatakan bahawa daripada 592 kes tersebut, hanya 100 kematian yang disahkan diakibatkan Covid-19 (death due to Covid-19). Manakala yang lain adalah kes di mana ada kaitan dengan Covid-19 (death with Covid-19), yang mana pesakitnya tiada rekod positif Covid-19 semasa hari kematian. KKM menjelaskan ini berikutan kekangan KKM untuk menjalankan post mortem bagi menentukan punca sebenar kematian bagi si mati yang tidak pernah disahkan positif.

9. Ia menjadi persoalan kepada rakyat kerana alasan sebegini hanya diumumkan ketika negara menghadapi kadar kematian harian tertinggi. Maklumat seperti kes kematian tertunggak (backlog) dan kekangan post mortem untuk pesakit Covid yang meninggal dunia seharusnya dimaklumkan lebih awal. Ini perlu agar umum mengetahui bahawa data yang diberikan belum lagi menyeluruh kerana ia bergantung kepada faktor lain seperti keputusan post mortem dan pemakluman kes kematian pada hari kejadian.

10. Kerajaan perlu memberikan maklumat yang tepat, telus dan komprehensif kepada rakyat, berkenaan apa-apa sahaja berkaitan Covid-19. Ini penting agar rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai status semasa pandemik yang melanda negara. Dalam masa yang sama, ia juga adalah sebagai peringatan kepada rakyat agar berwaspada dalam mematuhi segala Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan. Polisi kesihatan yang digubal juga perlu meletakkan kepentingan rakyat menjadi keutamaan, bukan hanya fokus untuk menunjukkan kerajaan dapat mengawal keadaan.

Sumber:

BACA: Gempar !!! Ahmad Said ‘mengganas’ di Sidang Dun Terengganu, dedah semua bukti salahlaku pemimpin Pas