Setiap Umat Islam Adalah Peniaga dan Penjual

download-65.jpg

Masih ramai lagi yang gagal faham apa dia berdakwah dengan hikmah. Ramai yang suka hidup dalam keamanan tapi tak ramai yang mahu cerita pasal perpaduan. Poyo kata mereka, “kalau nasihat cara baik nanti kafir naik kepala, sampai bila kita nak bagi melayu di pijak oleh bangsa asing” Kata pejuang melayu , sambil menyedut rokok John depan kedai nombor ekor.

Setiap umat islam di negara ini adalah peniaga baik ustaz, guru, doktor waima hakim sekalipun.

Apa yang kita jual?

Tiket percutian ke “hotel” di alam abadi.

Nak tahu siapa agen penjual yang terbaik yang kita pernah ada?

Arwah Tuan Guru Nik Aziz. ATGNA ini bila dia jual tiket percutian hotel dia, di hanya tumpu pada ciri-ciri kelebihan pakej hotel dia, apa kemudahan yang hotel dia ada. Dia tak ada pun pergi buat perbandingan dengan hotel-hotel lain, memburukkan hotel lain jauh sekali.

Kepada orang yang sudah ada tiket di hotel lain, dia akan kata dengan lemah-lembut yang semua manusia perlukan percutian untuk rehatkan minda, kalau anda sudah tempah pakej dengan hotel yang lain tidak mengapa, itu lebih baik dari tiada hotel langsung, tapi kalau mereka mahu mendengar tawaran dia yang lebih istimewa , ATGNA akan mengambil masa sekejap sahaja untuk menerangkan kelebihan pakej hotel yang dia tawarkan

Dia tahu kalau dia istiqomah menjual pakej percutiannya dengan hikmah, lambat laun pasti akan ada pembeli. Kalau orang tak nak beli pakej percutian dia pun, dia tak marah dan dia tetap layan orang itu dengan baik. Dia tahu konsep hidayah itu milik Allah.

Yang lagi istimewa tentang ATGNA, dia sendiri ajar orang lain supaya jadi agen-agen pakej percutian hotel yang sama. Dia tak ada pun sifat kedekut atau dengki kalau orang lain jual pakej ke hotel yang sama.

Lagi ramai agen lagi bagus, lagi besar komisyen yang akan dia dapat nanti. Sebab itu bilik-bilik hotel (syurga) ada perbezaan dari harga dan kualiti servis yang di tawarkan. Dia tidak mengkafir atau memunafikkan orang kalau agen-agen itu cuba jual pakej bilik yang berlainanan janji dari hotel yang sama. Dia faham konsep tak kisah lah bilik yang mana pun, 2 bintang ataupun 5 bintang, asalkan mereka sudah ada bilik sendiri.

Kenapa ATGNA masih lagi agen penjual terbaik walaupun sudah lama meninggalkan kita?

Sebab hilangnya tidak berganti. Ramai pelanggan dari hotel yang lain masih merindui ATGANA walaupun bertahun dia sudah pergi. Yang ada sekarang ni yang tinggal penjual tiket hotel yang hanya mahu melayan “pelanggan tertentu sahaja”, kalau pelanggan menolak mereka akan marah-marah, dan mereka tak kisah sama ada pelanggan itu tidur di tepi tong sampah atau pun tidur di hotel yang lain, janji mereka mahu kerja mereka mudah. Itu belum lagi mereka sendiri mengkafirkan agen hotel yang sama kerana cuba menjual pakej berlainan.

Penutup

Bila kita meletakkan diri kita sebagai penjual yang mana barang di jualan adalah syurga Allah, automatiknya kita akan berbaik sangka dengan bakal-bakal pelanggan. Pernahkah kita tengok agen takaful menjerit-jerit dan memaki-maki bakal pelanggan? Kalau ada bakal pelanggan mahu luangkan masa 1 minit dari masa sibuk mereka pun agen itu dah bersyukur. Kalau pelanggan beli itu bonus, kalau tak beli sekarang mungkin mereka akan membeli pada masa hadapan sebab itu kena berbaik sangka. Kita tak boleh ada prejudis bila jadi penjual. Kita boleh nak pelanggan dari warna kulit dan agama yang sama, tapi untung kita mungkin kurang. Semua orang nak untung banyak. Kalau untung kurang, mungkin kita boleh dapat Syurga Khuldi, kalau untung lebih mungkin boleh dapat syurga Firdaus.

Jadi muslim yang bijak dan berhikmah.

Orang bukan Islam tidak membaca Al-Quran, mereka tidak membaca Hadis Nabi tetapi mereka membaca Akhlak yang kita pamirkan.

FB : Mohd Mukhlis Mohd Shariff