Setelah samun barangan bernilai RM50,000, esoknya penyamun kantoi datang lagi siap bawak lori…

Setelah samun barangan bernilai RM50,000, esoknya penyamun kantoi datang lagi siap bawak lori…

Sekumpulan perompak yang melarikan barangan bernilai kira-kira RM50,000 dari sebuah rumah di Ambangan Heights Khamis lalu, didakwa datang semula keesokan hari sebelum terserempak dengan pemilik rumah.

Mohd Husainizam Husain, 44, berkata, dua lelaki menaiki sebuah lori manakala seorang lagi menunggang motosikal terserempak dengannya di rumah terbabit ketika dia bersama keluarga sedang mengemas rumah yang baharu dipecah masuk kira-kira jam 9 malam pada Jumaat menyebabkan ketiga-tiga individu itu melarikan diri.

Menurutnya, dalam kejadian pertama Khamis lalu, sebahagian peralatan dan perkakasan rumah lesap dilarikan perompak menggunakan beberapa buah kenderaan termasuk sebuah lori ketika dia sedang bertugas di Langkawi.

“Antara barangan yang lesap termasuk televisyen bersaiz 58 inci, mesin basuh berkapasiti 13 kilogram, dua buah peti sejuk, kipas, rantai perkahwinan, basikal, set sofa dan meja kayu cengal, meja dan kerusi kayu jati, perkakasan dapur seperti pinggan mangkuk vintage, perhiasan rumah serta pakaian termasuk uniform kastam kami suami isteri,” katanya.

Selain jeriji besi bilik utama yang dikopak, jeriji besi di dapur juga dipotong.

Menurutnya, hasil pemerhatian melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah jiran menunjukkan terdapat empat buah kenderaan keluar masuk bagi mengangkut barangan secara bergilir ketika penghuni tiada di rumah.

“Kejadian berlaku antara jam 6 petang hingga 10 malam, Khamis lalu menunjukkan mereka datang hanya untuk mengangkut barang, saya percaya mereka telah rancang dan pecah masuk lebih awal sebelum mengatur kenderaan bagi membawa keluar perabot dan barangan lain,” katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di rumah pada Jumaat mendapati, keadaan berselerak dengan jeriji besi di bilik utama telah dipecahkan.

Keadaan rumah Mohd Husainizam yang berselerakan selepas dipecah masuk.

“Ketika kami sibuk mengemas, dalam kejadian kedua semalam (Jumaat) datang pula tiga lelaki dengan menaiki sebuah lori dan motosikal kira-kira jam 9 malam.

“Bila ternampak isteri keluar rumah pakai telekung bertanyakan siapa yang datang, mereka terus memecut laju, kami syak penjenayah yang sama datang semula kemungkinan nak ‘angkut’ barang lagi,” katanya.

Laporan polis telah dibuat dan menyerahkan segalanya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman @Abd Rahim berkata, siasatan mengenainya masih diteruskan di mana polis kini sedang giat mengenal pasti individu yang terlibat dalam kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 atas kesalahan melakukan jenayah pecah rumah.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/135261/EDISI/Utara/Penyamun-datang-semula-selepas-bawa-lari-barangan-bernilai-RM50000