Setelah dikantoikan netizen kerana ‘beli’ akaun twitter remaja, pelbagai pihak persoal SKMM

Setelah dikantoikan netizen kerana ‘beli’ akaun twitter  remaja, pelbagai pihak persoal SKMM

Setiausaha politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan meminta penjelasan apakah benar akaun Twitter rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) diambil alih daripada akaun peribadi.

Ini selepas warga maya semalam mendedahkan beberapa ciapan daripada akaun Twitter rasmi suruhanjaya berkenaan yang bersifat lucah dan jelik.

Pada masa yang sama, Syahredzan berkata seorang pengguna media sosial yang menggunakan nama @NazruiHakim mendakwa akaun Twitter SKMM itu pada asalnya merupakan akaun peribadi miliknya.

Remaja berkenaan mendakwa akaun itu dijual beberapa tahun lepas ketika dia mempunyai 50,000 pengikut.

“Adakah benar akaun @SKMM_MCMC itu diambil alih daripada akaun peribadi seperti yang didakwa?

“Sekiranya benar diambil alih, apa keperluan @SKMM_MCMC mengambil alih suatu akaun peribadi?”soal Syahredzan dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu Syahredzan yang juga seorang peguam mempersoalkan sekiranya terdapat bayaran seperti didakwa.

“Adakah bayaran yang dikatakan oleh @NazruiHakim dibuat oleh SKMM dan berapa jumlah yang dibayar?

“Jika SKMM ada membuat bayaran, adakah ia melalui proses perolehan kerajaan yang betul dan telus?” soalnya.

SKMM semalam menggantung akaun @SKMM_MCMC buat sementara waktu selepas ciapan lama akaun itu yang bersifat lucah dan jelik dikongsi semula netizen.

Suruhanjaya itu bagaimanapun mendakwa akaun Twitternya ‘diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab’.

“Akan tetapi, dakwaan ini tidak munasabah, kerana ciapan-ciapan lucah, sumbang, mengancam dan/atau jelik sifatnya itu dibuat beberapa tahun lepas.

“Sekiranya akaun tersebut diceroboh sekalipun, adalah mustahil untuk ‘back-date’ mana-mana ciapan,” kata Syahredzan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/558774