Setelah desakan agar beliau diheret ke mahkamah, Hadi kata gelaran ‘buaya’ hanyalah umpan

Setelah desakan agar beliau diheret ke mahkamah, Hadi kata gelaran ‘buaya’ hanyalah umpan

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, membayangkan kenyataannya mengenai “buaya” semasa mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung status salah satu skesyen dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor hanyalah berbentuk ‘umpan’.

Menurut Abdul Hadi ketika ini dia berpendapat umpan yang dihulurkan itu sudah dimakan ‘buaya’ dan dia sedang menunggu masa yang sesuai untuk melengkapkan gerakan tersebut.

“Saya sedang menunggu kail dimakan lebih dalam dan ditelan lebih ke dalam untuk menyentapnya,” katanya dalam catatan terbaru siri Minda Presiden di Facebook hari ini.

Duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu menambah kenyataan dibuatnya itu bukanlah mencabar mana-mana pihak sebaliknya sekadar peringatan kepada pihak yang “masih berakal budi.”

“Buaya itu muncul atas nama tokoh-tokoh liberal, media dan NGO sehingga mengocak ketenangan hakim dan mahkamah.

“Bukan mudah untuk mendedahkan kebenaran tentang seseorang penyokong dan pembela makhluk di luar tabii, kerana ia adalah suatu sifat yang sangat memalukan,” tulis Abdul Hadi.

Pada 4 Mac lalu Abdul Hadi – juga melalui siri Minda Presidennya – menulis artikel bertajuk Merdekakan Perlembagaan dengan menyentuh tentang kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Sambil memuji beberapa orang bekas hakim ahli parlimen Marang itu menzahirkan rasa kecewanya kerana ada hakim Melayu Islam yang “tiada dalam hatinya kepekaan terhadap Islam” walaupun negara sudah merdeka lebih 50 tahun.

Menurutnya terdapat “hakim yang baru” hilang sensitiviti agama dengan membuat keputusan berasaskan buku yang dibaca, bukan mengikut pertimbangan akal yang mempunyai budi bicara.

Abdul Hadi juga membandingkan hakim yang terkemudian dengan hakim Inggeris yang didakwa tidak melanggar sensitiviti umat Islam.

“Disangka tiada lagi saki-baki buaya belaan penjajah British di dalamnya, namun tiba-tiba buaya itu mendongakkan kepalanya,” tulis Abdul Hadi.

Ia mendorong beberapa pihak termasuk bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram dilapor membuat gesaan agar prosiding menghina mahkamah digerakkan ke atas Abdul Hadi.

Untuk rekod pada 25 Feb lalu sembilan hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan peruntukan mengenai kesalahan seks luar tabii dalam undang-undang syariah Selangor sebagai tidak sah.

Bagaimanapun keputusan tersebut tidak bermakna mahkamah terbabit membenarkan amalan seks luar tabii sebaliknya berpendapat peruntukan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim berkenaan menjelaskan undang-undang mengenai perkara yang dibahas dalam seksyen 28 enakmen terbabit – yang menyentuh mengenai seks di luar tabii – hanya boleh digubal melalui parlimen.

Daripada sembilan hakim yang mendengar permohonan tersebut, hanya dua daripada mereka bukan beragama Islam.

Menurut Abdul Hadi dia tidak menyangka tulisannya mengenai Islam dan Perlembagaan mendapat perhatian ramai pihak dan ‘umpan’ yang dihulurkan dimakan.

Ahli parlimen Marang itu juga berkata binatang paling cerdik pun – seperti kancil – dan yang besar serta gagah – misalnya gajah – tidak terkecuali daripada diperangkap.

“Maka buaya yang ganas akhirnya dapat ditangkap walaupun bijak berselindung di bawah permukaan air yang paling tenang yang disangka tiada buaya,” tulisnya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/565900