Setelah Anwar, Zahid pula gesa moratorium dilanjutkan hingga Disember

Setelah Anwar, Zahid pula gesa moratorium dilanjutkan hingga Disember

Umno menggesa kerajaan mempertimbang untuk melanjutkan tempoh moratorium automatik tiga bulan lagi iaitu sehingga Disember ini.

Gesaan itu dikeluarkan presidennya Ahmad Zahid Hamidi hari ini dengan para peminjam perlu membayar pinjaman kepada bank bermula bulan ini.

“Umno meminta kerajaan mempertimbangkan lanjutan moratorium automatik bermula Oktober sehingga Disember 2020,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Selain itu, dia juga menyarankan kerajaan agar mengarahkan bank menangguh prosiding lelongan dan pengisytiharan muflis terhadap mereka yang tidak mampu membayar pinjaman atas sebab-sebab tertentu, seperti tiada kerja dan tiada tempatan.

“Prosiding lelongan dan prosiding lain terhadap peminjam hanya boleh dibuat selepas 6 bulan atau satu tahun tempoh moratorium tamat.

“Bank di negara ini perlu prihatin terhadap masalah golongan yang benar-benar terkesan akibat Covid-19 dan mempertimbangkan tindakan mereka berdasarkan kesan penularan wabak yang serius ini,” katanya.

Bagi mengurangkan beban perniagaan dan isi rumah yang terkesan oleh penularan Covid-19, kerajaan pada Mac lalu mengumumkan untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman termasuk gadai janji dan sewa beli untuk tempoh enam bulan dan akan berakhir hujung September lepas.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan tempoh moratorium dan bantuan bank secara bersasar selama tiga bulan lagi.

Kes Covid-19 di Malaysia menyaksikan peningkatan mutakhir ini dengan jumlah kes baru hari ini dan semalam menjadi bilangan tertinggi sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan 18 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah tidak menolak kemungkinan ia merupakan permulaan bagi gelombang baru penularan virus itu.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/545102

COMMENTS