Setelah 6 bulan terbukti menteri dan kerajaan PN gagal

Setelah 6 bulan terbukti menteri dan kerajaan PN gagal

SUDAH lebih enam bulan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir Malaysia. Mentadbir Malaysia? Sebenarnya, PN atau lebih afdal disebut Kerajaan Tebuk Atap/Pintu Belakang ini hanya mengurus Covid-19!

Disebabkan ghairah mahu menjadi kerajaan, hadapilah wabak pandemik tersebut. Tidak pasti sama ada balasan atau hukum karma kerana mengkhianati rakan-rakan Pakatan Harapan (PH), Kerajaan PN menghadapi kes Covid-19 yang naik mencanak sebaik sahaja berada di Putrajaya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (ketua pengkhianat) sebagai Perdana Menteri terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020. Ketika rencana ini ditulis, PKP masih berjalan atas nama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) fasa kedua.

Ramai yang memuji Muhyiddin dan PN hingga menganggapnya sebagai perdana menteri terbaik, dan kerajaan prihatin. Muhyiddin disanjung kerana memberi bantuan yang amat diharap-harapkan. Boleh pula berdoa, tetapi ada kawan yang bertanya Muhyiddin memohon doa atau mengarahkan Allah? Ada yang mengatakan rakyat boleh menilai kerajaan mana yang lebih baik, dan sudah tentu PN yang lebih baik.

Memang PKP berkesan dalam membendung Covid-19, walaupun hingga kini masih belum berakhir. Bantuan kewangan yang diberikan menerusi skim Pakej Rangsangan Ekonomi bernama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) memang disambut baik oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walau bagaimanapun, pujian rakyat itu kerana wang ringgit. PN lebih baik hanya kerana BPN? Sebenarnya, kesan buruk lebih banyak. Ramai yang menyumpah kerana terpaksa berkurung di rumah. Ramai yang hilang pekerjaan, dan terpaksa menghentikan perniagaan!
Menyanjung kerana wang BPN tanpa memikirkan penyaluran bantuan itu langsung tidak dibahaskan di Dewan Rakyat. Alasan tiada perbahasan ialah Covid-19, PKP dan prosedur operasi standard (SOP).

Mudah alasannya, sedangkan ada wakil rakyat PN, termasuk Timbalan Menteri Kesihatan melanggar SOP. Denda yang dikenakan kepada mereka hanya untuk mengaburi mata rakyat. Mereka mampu membayarnya. Juga dengan memohon maaf dan berjanji tidak mengulanginya, selesai kes.

PN menawan hati rakyat? PH pun akan melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat menghadapi Covid-19 jika masih menjadi kerajaan. Wabak maut ini bukan ukuran PN lebih baik daripada PH.

Kelihatan baik, tetapi dari segi maruahnya, segala tindakan PN tiada hikmah dan berkah. Kalau cara tertubuhnya jelek, mana mungkin ia dapat berdiri dengan baik. Kini semakin jelas keburukannya.

Baik buruk sesebuah kerajaan bergantung pada perdana menteri, dan para menterinya. Dari mula lagi sudah terlihat kelemahan beberapa menteri PN – pandir dan menjadi bahan ketawa.

Pada awal landaan Covid-19 dan PKP, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba menyarankan rakyat minum air suam untuk membasmi virus wabak tersebut. Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri kemudian membidasnya!

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (seorang lagi pengkhianat) menyembur bahan pembasmi kuman (sanitizer) di jalan raya, bukan kawasan yang sewajarnya. Beliau juga meletakkan namanya pada penutup muka agar orang tahu!

Datuk Seri Rina Mohd Harun (juga pengkhianat), Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat mengesyorkan para isteri meniru suara watak animasi terkenal Jepun, Doraemon untuk memikat hati suami.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (‘kejatuhan’ PH menyebabkan beliau dapat menggantikan Anthony Loke yang telah bertugas dengan cemerlang), awal-awal lagi mengingatkan sesiapa pun jangan menyebut PN sebagai kerajaan Melayu Islam.

Kenaikan PN juga menyebabkan Pas akhirnya menjadi kerajaan persekutuan. Walau bagaimanapun, oleh kerana naik secara tdak wajar, ia pun menjadi lemah. Tiada seorang pun pemimpinnya, termasuk menteri, membidas kenyataan Presiden MCA itu.

Setelah menjadi kerajaan, pemimpin Pas tambah mengecewakan. Jelas mereka selama ini hanya bermain politik dan ‘menunggang agama’ demi kuasa. Setelah puas memfitnah DAP atas alasan membela Islam dan Melayu, mereka kini tuli dan bisu. Semasa menjadi pembangkang, asyik menyalahkan DAP. Setelah menjadi kerajaan, kecut pada MCA, sambil membela Umno.

Dalam soal pemandu mabuk, Ka Siong pernah menyarankan mereka yang mahu ‘minum’ agar menyewa e-hailing/grab. Sepatutnya beliau tegas memberikan jaminan akan memperketat undang-undang, bukan kenyataan sedemikian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah (juga pengkhianat) menaikkan kemarahan warga internet apabila bercadang mengenakan lesen untuk Youtube, Tik Tok, instagram, dan sebagainya. Apabila keadaan semakin panas, beliau menarik balik cadangan, dan mengaku telah membuat kenyataan yang salah.

Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz diselar kerana lebih menjaga ahli bank daripada rakyat dalam isu moratorium. Senator yang juga mantan ahli bank dan pelabur ini dibidas dengan #bankerjagabanker.

Bulan lalu, Tengku Zafrul mengejutkan apabila menyebut di Dewan Rakyat bahawa Kerajaan PH meluluskan rundingan terus untuk 101 syarikat semasa mentadbir negara. Apabila didesak oleh pemimpin PH untuk menyebutkan satu-persatu, beliau menyatakan hanya menjawab soalan ahli Parlimen.

Memang sukar menyenaraikannya kerana mereka yang khianat juga terbabit memohon. Beberapa ahli Parlimen Kerajaan Tebuk Atap sendiri akan terkena.

Mantan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali boleh dianggap berubah 360 darjah sebagaimana pemimpin Pas. Sebelum melakukan Langkah Sheraton untuk mengkhianati rakan-rakan dalam PH, Azmin musuh ketat Dato’ Sri Mohd Najib Razak, dan para pemimpin BN/PN.

Namun begitu, selepas menjadi antara menteri kanan Kerajaan PN, Azmin membela Najib, dan membelasah bekas rakan-rakan dalam PH.

Lebih menyedih dan menyakitkan hati ialah apabila Azmin menyelar PH ketika mengaitkan dengan isu Covid-19. Beliau lupa dirinya pernah menjadi sebahagian daripada PH apabila mengatakan PH gagal membela rakyat, malah jika ada rakyat yang mati, katanya, bukan mati kerana Covid-19 tetapi disebabkan oleh PH!

Timbalan Presiden Pas, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man selepas dilantik menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air mengejutkan wartawan apabila mengatakan punca pencemaran alam ialah durian musang king!

Tuan Ibrahim juga menyatakan pelaksanaan hudud tidak boleh secara tergesa-gesa. Beliau mengatakan semasa menjadi pembangkang, Pas hanya tahu mendesak, tetapi setelah menjadi kerajaan baru tahu banyak perkara perlu diselesaikan untuk pelaksanaan hudud.

Semasa membangkang, asyik bertanya kerajaan bila boleh melaksanakan hudud. Mereka yang enggan melaksanakannya dikatakan syaitan. Setelah menjadi kerajaan, usah ditanya pula bila mahu melaksanakannya, malah yang bertanya itu pula dikatakan syaitan!

Terbaharu, Tuan Ibrahim mencadangkan rakyat Kelantan menadah air hujan untuk mengatasi masalah bekalan air kotor. Sebelum ini beliau mengatakan masalah air di negeri Serambi Makkah itu akan selesai dalam masa 40 tahun lagi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (juga dari Pas), sangat kontroversi baru-baru ini kerana mengingkari kuarantin wajib setelah pulang dari Turki. Ahli Parlimen Kuala Nerus itu hanya membayar denda RM1,000 dan mendermakan empat bulan gajinya, sambil memohon maaf.

Mohd Khairuddin atau Khairuddin at-Takiri ini juga kuat menyelar Teresa Kok yang semasa menjadi Menteri Perusahaan Utama menyarankan penanaman buluh. Beliau mengatakan Teresa mengarut, dan tiada idea.

Setelah menjadi menteri, at-Takiri tanpa malu mengikut idea penanaman buluh itu, malah memuji dan amat meyakininya pula. Sikap dan tindakan beliau ini tambah menguatkan hakikat pemimpin Pas hanya tahu memusuhi DAP. Ia menolak DAP kerana parti itu tidak menerima hudud. Anehnya, Umno yang mengaku Islam, tetapi juga menolak hudud yang sangat disembahnya kini.

Satu kesilapan besar jika rakyat hanya terpesona pada bantuan kewangan sahaja hingga buta pada keburukan yang kian terlihat. Hanya dengan cara yang baik sahaja memberikan kebaikan.

PN bukan pilihan rakyat, maka ia tidak untuk rakyat, biarpun Muhyiddin baru sahaja mengumumkan pemberian BPN 2.0 pada 23 September lalu – itu difahami kerana Pilihan Raya Negeri Sabah akan diadakan tiga hari kemudian.

PH yang dipilih oleh rakyat pada 9 Mei 2018. Kepada rakyatlah ia berbakti.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/senarai-panjang-kelemahan-kebobrokan-menteri-perikatan-nasional/