Setahun bertarung nyawa, pesakit Covid-19 ini akhirnya meninggal dunia

Setahun bertarung nyawa, pesakit Covid-19 ini akhirnya meninggal dunia

Pesakit Covid-19 paling lama di Britain, Jason Kelk, meninggal dunia pada usia 49 tahun selepas lebih setahun bertarung nyawa di sebuah hospital di Yorkshire Barat, dekat sini, lapor portal MailOnline semalam.

Mendiang sebelum itu membuat keputusan untuk berhenti daripada menerima rawatan Covid-19 kerana sudah tidak sanggup hidup dengan keadaan begitu.

Menurut isterinya, Sue Kelk, ‘pertarungan’ suaminya selama lebih setahun itu amat memenatkan sehingga memaksa lelaki itu membuat keputusan untuk berhenti dirawat.

Setahun bertarung nyawa

“Orang mungkin menyangka dia pengecut kerana menyerah dengan Covid-19 begitu sahaja.

“Saya berasakan itulah perkara paling berani yang dia boleh lakukan, iaitu dengan mengatakan bahawa dia sudah tidak sanggup hidup dihantui penyakit itu,” ujar Sue.

Jason yang menghidap diabetes jenis II dan asma dimasukkan ke hospital pada 31 Mac 2020 sebelum dipindahkan ke unit jagaan rapi.

Guru sekolah rendah itu kemudiannya kekal dirawat di situ dan bertarung nyawa melawan pelbagai penyakit selepas virus Covid-19 menyerang paru-paru dan merosakkan buah pinggangnya.

Tiga minggu lepas, dia memerlukan bantuan ventilator sepenuhnya untuk bernafas dan itu merupakan detik di mana Jason merasakan bahawa dia sudah letih.

“Dia cuma mahu mengakhiri semua ini. Meskipun ubat antibiotik yang diberikan menunjukkan kesan positif namun semangatnya sudah hilang,” kata Sue.

Jason meninggal dunia pada pagi semalam di samping Sue, ibu dan ayahnya serta adik perempuannya.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/06/20/pesakit-covid-19-paling-lama-di-britain-meninggal-dunia/