Sesi belanjawan : Kemenangan moral pertama buat Anwar

Sesi belanjawan : Kemenangan moral pertama buat Anwar

Hari ini merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh semua pihak bagi mendengar intipati belanjawan 2021 yang dibacakan oleh Menteri Kewangan Malaysia.

Sudah tentu fokus utama adalah kepada peruntukan-peruntukan yang kerajaan akan sediakan bagi menyemarakkan ekonomi negara yang kini sedang bergelut dengan Covid-19.

Pun begitu, sebelum sesi pembentangan belanjawan tahun ini, kita dikejutkan dengan kekecohan politik yang hampir membawa rebahnya kerajaan Muhyiddin setelah 8 bulan membentuk kerajaan sewaktu Covid-19.

Semuanya bermula apabila Anwar Ibrahim mengadakan sidang media menyatakan beliau telah memperoleh sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan dan akan menghadap Yang Dipertuan Agong.

Namun kerana YDP Agong gering dan terpaksa dimasukkan ke IJN, pertemua itu tergendala sehinggalah baginda sembuh dan memberi perkenan Anwar dan Ku Li datang mengadap di Istana Negara.

Kecohlah seluruh negara bahawa Muhyiddin hampir pasti sudah kehilangan majoriti. Pergelutan itu semakin membarah apabila pemimpin-pemimpin Umno seperti memberi isyarat bahawa sokongan parti itu kepada Muhyiddin sudah merosot.

Semuanya gara-gara layanan yang diberikan parti pimpinan Muhyiddin kepada Umno dilihat seperti mahu menamatkan hayat parti Umno sebelum PRU 15 yang akan datang.

Kemuncaknya Muhyiddin mengambil langkah mahu mengisytiharkan darurat. Sekali lagi Istana terseret ke kancah perlu membuat keputusan penting untuk negara. Alhamdulillah cadangan darurat ditolak majlis raja-raja dan YDP Agong mengingatkan ahli politik agar jangan terlalu berpolitik.

Semenjak Anwar mengadap Agong, Anwar boleh dikatakan telah mengambil sikap berdiam diri dari menimbulkan politik yang tidak perlu namun pemimpin Umno dan Bersatu sebaliknya.

Pertembungan sesama mereka semakin meruncing dan menatijahkan kecelaruan politik semakin teruk.

Cadangan pengisytiharan darurat walaupun dilihat gagal tetapi telah berjaya mematahkan langkah politik yang diatur oleh Umno. Keadaan semakin reda.

Namun hari ini tanpa diduga, Anwar memperoleh satu kemenangan moralnya yang pertama apabila desakan dan usulnya di parlimen telah disokong oleh 4 ahli parlimen Umno.

Ini sekaligus menyegarkan kembali perbahasan, benarkah Muhyiddin masih memiliki majoriti 113 yang dimilikinya selama 8 bulan ini?

Sumber :