Sesama Pas berebut jawatan MB, Amanah pula dituduh jadi dalang – Hasbie Muda

Sesama Pas berebut jawatan MB, Amanah pula dituduh jadi dalang – Hasbie Muda

AMANAH Terengganu menafikan dakwaan parti itu terlibat dengan usaha membabitkan desas-desus pertukaran Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pengarah Komunikasinya, Hasbie Muda berkata, Pas tidak sewajarnya mengheret pihak lain dalam hal rumah tangga mereka sendiri dan seharusnya menyelesaikan isu terbabit melalui penjelasan dan kenyataan dari pihak yang berkenaan.

Jelasnya, setelah Umno menafikan terlibat, modus operandi Pas cuba mengheret AMANAH dalam hal dalaman mereka.

“Langkah tersebut merupakan langkah murahan semata-mata untuk lari dari isu yang timbul.

“Secara rasionalnya, tiada keuntungan pada AMANAH atau mana-mana pihak lain untuk menjatuhkan Menteri Besar Terengganu kerana dengan 22 kerusi DUN Pas, pengganti beliau akan hanya datang dari kalangan ADUN Pas

“Tidak eloklah diheret AMANAH semata-mata cuba menutup pekung mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, kedudukan Menteri Besar Terengganu dikatakan tersepit dengan pihak istana dan juga usaha pimpinan lain dalam Pas untuk mengambil alih tempat beliau.

Dilaporkan, satu borang Surat Akuan Berkanun sudah disediakan untuk membolehkan Adun Terengganu menandatanganinya bagi menyatakan kesediaan mereka menolak Samsuri sebagai Menteri Besar.

Ia didakwa disediakan untuk Adun kedua-dua parti sama ada dari Pas yang mempunyai 22 Adun ataupun Umno yang mempunyai 10.

Bagaimanapun, Umno negeri menyatakan tidak terlibat dalam usaha berkenaan dan menjelaskan sekiranya gerakan itu benar-benar berlaku, ia tiada kaitan dengan parti itu.

Sementara itu, Hasbie memberitahu, AMANAH Terengganu mengambil maklum tulisan di Facebook yang dimulakan oleh Razak Bidin.

Menurutnya, individu berkenaan cuba mengaitkan AMANAH Terengganu dalam perkara ini serta cubaan mencemar imej Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Justeru katanya, satu laporan polis akan dibuat segera terhadap penama terbabit.

Berita Penuh : https://malaysiadateline.com/amanah-nafi-terlibat-rancangan-tukar-mb-terengganu/