Mujahid Yusof Rawa hari ini menegaskan rakyat bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi serbuan terhadap pengikut Syiah di Selangor baru-baru ini bawah bidang kuasa negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberi jaminan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan agama lain bebas diamalkan dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 11 bercakap tentang kebebasan walaupun ada had-had bawah Fasal 4. Itu menjadi garis penentu memastikan kita tidak mencerobohi hak kebebasan itu,” katanya.
Menteri yang bertanggungjawab untuk hal ehwal Islam itu bagaimanapun berkata pihak berkuasa agama negeri ada tatacara operasi standard (SOP) yang mewajarkan tindakan dalam keadaan tertentu.
“Tetapi secara umumnya kita tetap kekal berpegang kepada prinsip Perkara 3 dan 11,” katanya.
Beliau mengulas mengenai tindakan keras terhadap pengikut Syiah di Selangor, yang menyaksikan pihak berkuasa negeri menyerbu sekurang-kurangnya 3 acara tertutup bagi memperingati ulang tahun kematian cucu Nabi Muhammad, Hussein pada Hari Asyura.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang menyalahi undang-undang negeri.
Mujahid berkata walaupun prinsip Perlembagaan Persekutuan harus ditegakkan, jabatannya sedang meneliti keseimbangan antara kebebasan yang termaktub dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.
“Kita sudah pun dapat maklum balas daripada menteri besar dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal agama Islam Malaysia,” katanya.
Beliau menegaskan serbuan-serbuan di Selangor itu bawah bidang kuasa negeri.
“Maka kita hormati tindakan itu,” katanya.
Sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/09/13/bebas-amal-agama-tapi-serbuan-anti-syiah-urusan-negeri-kata-mujahid/