Serah kepada kebijaksanaan Agong, bukan keluar kenyataan seolah dia seorang ada jalan penyelesaian

Serah kepada kebijaksanaan Agong, bukan keluar kenyataan seolah dia seorang ada jalan penyelesaian

Pada 1 hb Jun 2021 GERAK membawa sentimen dan harapan rakyat memohon DYMM SPB AGONG bertindak segera dalam suasana kemelut negara terburuk sejak Merdeka.

Kami menjunjung kasih ke bawah DYMM Tuanku dengan usaha yang dilakukan bermula 9 Jun lalu hinggalah kepada Sidang Khas Majlis Raja-Raja yang dijadual 16 Jun 2021 nanti.

GERAK amat kesal dengan sikap pemimpin-pemimpin politik yang terus bertelingkah dan lebih menjelekkan membuat kenyataan-kenyataan mendahului DYMM Agong dan Majlis Raja-Raja. (Walhal mereka inilah yang menjadi antara faktor utama kemelut dalam negara semakin memburuk dan parah).

Paling ketara adalah Tun Mahathir Mohamed yang sebaik sahaja selesai mengadap DYMM, membuat pelbagai kenyataan seolah-olah jalan penyelesaian ada ditangannya sahaja.

Kita semua tahu rekod buruk Mahathir terhadap Institusi Raja-Raja Melayu khususnya semasa beliau berkuasa mentadbir negara. Ingatan GERAK diakhir usia dan tanpa kuasa ini, buatlah perkara yang senonoh supaya kelak kamu tidak dikenang sebagai pemimpin yang kemaruk kuasa.

GERAK juga tidak menolak kemungkinan ini adalah salah satu muslihat Mahathir. Sementalahan tiba-tiba muncul nama Hishamuddin dan Azmin. Sejak sebelum tumbang kerajaan PH lagi, saya dan rakan-rakan pernah nyatakan secara terbuka komplot Mahathir bersama Hishamuddin dan Azmin ini. (Rujuk ucapan saya di Taman Medan awal 2019).

Kita jangan lupa peristiwa PRK Tg Piai dimana Hishamudin membawa segerombolan Ahli-ahli Parlimen berjumpa Azmin dikediaman rasmi Menteri. (Semasa itu beliau Menteri Ekonomi dalam Kerajaan PH). Dan jangan lupa juga kenyataan Mahathir pada masa itu mempertahan tindakan pelik Azmin berjumpa Hishamudin dan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang setelah parti kerajaan baru sahaja kalah teruk dalam PRK.

Makanya rekod jelas menyaksikan Mahathir, Hishamudin dan Azmin mampu berkomplot dengan berniat jahat, menangguk diair keruh untuk kepentingan mereka semata-mata.

GERAK juga ingin menegaskan keperluan agar semua menghormati kedudukan DYMM Agong dan Raja-Raja Melayu dalam mencari jalan penyelesaian kepada kemelut negara ini.

Hakikatnya kerajaan sedia ada sudah GAGAL dan tidak nampak jalan keluar lagi dan waktunya Institusi Raja yang menjadi tunggak utama negara ini diberi sepenuh penghormatan, dokongan dan kepercayaan menyelesaikannya dengan kadar segera.

Dikala Institusi Politik dalam keadaan amat lemah dan kucar kacir ini, wajar institusi negara dan masyarakat lain seperti cerdik pandai, profesional, pakar-pakar perundangan dan tokoh-tokoh veteran politik dan pentadbiran diundang dan digembeling tenaga bersama bagi membantu Institusi Raja mencari jalan keluar atasi kemelut ini.

Ianya jauh lebih berguna daripada Institusi Raja mendapatkan nasihat PM dan kabinet yang GAGAL dan tidak berguna itu.

Justeru kami merafak sembah memohon DYMM Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu menggunakan seluruh kuasa dan peruntukan undang-undang dibawah perintah Darurat ini bagi menghentikan dengan segera PM dan seluruh jemaah Menterinya yang sudah menjadi beban liabiliti kepada rakyat yang bernaung dibawah Duli Tuanku.

MOHAMAD EZAM MOHD NOR
Ketua Pertubuhan Perubahan Rakyat Malaysia (GERAK)