Senarai filem dari keluarga SKOP, ‘juta-juta semua ni’

Senarai filem dari keluarga SKOP, ‘juta-juta semua ni’. Sebut sahaja nama pengarah Datuk Yusof Haslam, pasti ramai antara kita yang akan membayangkan betapa ikoniknya filem-filem yang pernah disutradarakan oleh beliau. Sejak dahulu lagi, banyak antara filem-filem karya Yusof berjaya menyorot perhatian penonton, sekali gus memberi pulangan yang membanggakan terhadap rumah produksinya, Skop Productions.

Imbas kembali, kerjaya Yusof sebagai pengarah bermula selepas beliau mengarahkan karya pertamanya iaitu Bayangan Maut (1991). Namun, namanya sebagai arkitek filem mula meroket hanya selepas filem Sembilu (1994) dan Sembilu 2 (1995) meraih perhatian ramai, dengan kutipan masing-masing sebanyak RM4 juta dan RM6 juta.

Kemudian, Yusof Haslam kembali dengan sebuah lagi filem ikonik berjudul Pasrah yang dilakonkan oleh Erra Fazira pada 2000. Filem tersebut berjaya meraih kutipan sebanyak RM2 juta pada ketika itu.

Momentum Yusof sebagai sutradara semakin meningkat apabila filem Gerak Khas The Movie (2001) berjaya memberi pulangan sebanyak RM4.4 juta.

Legasi Yusof Haslam sebagai pengarah berkaliber kini kelihatan dalam diri anaknya, Syamsul Yusof yang berjaya mencetuskan fenomena menerusi filem arahannya, Mat Kilau. Setakat ini, filem yang baru diluncurkan beberapa minggu lalu itu berjaya meraih kutipan lebih RM60 juta, menjadikan filem tersebut sebagai filem paling laris di Malaysia.

Senarai filem dari keluarga SKOP, 'juta-juta semua ni'

Untuk rekod, ini bukan filem pertama arahan Syamsul yang berjaya meraih jumlah kutipan tiket tertinggi. Sebelum ini, Syamsul turut memecah rekod jumlah kutipan panggung menerusi filem seram Munafik (2016) dan Munafik 2 (2018).

Menerusi Munafik, Syamsul berjaya meraih RM19 juta manakala Munafik 2 dengan kutipan sekali ganda sebanyak RM48 juta.

Sementara itu, bakat seni yang mengalir dalam keluarga Yusof Haslam tidak terhenti pada Syamsul. Seorang lagi anaknya, Syafiq Yusof turut tersenarai sebagai pengarah dengan kutipan tertinggi menerusi filem Abang Long Fadil 2 (2017), KL Special Force (2018) dan Misteri Dilaila (2019). Ketiga-tiga filem ini masing-masing berjaya meraih kutipan sebanyak RM18 juta, RM12 juta dan RM10 juta.

Akan datang, Syafiq bakal kembali dengan buah tangan baharu berjudul Abang Long Fadil 3. Mengekalkan Zizan Razak sebagai tonggak utama, filem yang bakal ditayangkan pada September depan.

Berkesinambungan dengan filem terdahulu, Abang Long Fadil 3 berkisarkan tentang kehidupan Fadil yang dahulunya merupakan bekas gangster menerima tawaran daripada MSS (Malaysian Secret Service) untuk menjadi perisik.

BACA:

Filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof telan belanja RM8 Juta, paling mahal setakat ini

Anwar fail tuntutan balas terhadap saman Yusoff

Kecemerlangan Tabung Haji kerana usaha petugasnya – Tan Sri Md Nor Yusof