“Semua parti politik utama telah menderita proses penuaan yang kronik”

“Semua parti politik utama telah menderita proses penuaan yang kronik”.Baru 15 hari Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri tetapi sudah cukup jelas yang dia tidak serius membangunkan sebuah pentadbiran yang berwibawa.

Seolah-olah tidak cukup dengan melantik Kabinet kitar semula, mengekalkan duta-duta khas bertaraf menteri yang “redundant” dan melantik seorang lagi sebagai tambahan, semalam dia memutakhirkan kesembronoannya dengan melantik bekas Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri.

Bekas Perdana Menteri yang mengaku dia hilang sokongan ahli Dewan Rakyat daripada gabungannya sendiri dilantik untuk memulihkan negara! Kegilaan apakah ini?

Apa lagi kalau bukan tikus diberi tugas memperbaiki labu. Tikus itu pula bukan sebarang tikus tapi tikus yang merosakkan labu. Sekarang dia diberikan tugas memperbaikki labu yang dirosakkannya itu.

Ismail Sabri menjadikan kerajaan seperti barang mainan untuk bersuka-suka dan bagi mengambil hati Mahiaddin supaya kedudukannya sebagai Perdana Menteri selamat. Selepas ini jangan hairan kalau anggota kluster mahkamah pun dilantik ke jawatan penting. Peduli apa. Bukan duit dia. Duit rakyat jelata.

parti

Sangat jelas yang Ismail Sabri tidak ada sedikit pun rasa hormat kepada rakyat jelata malah telah dengan sengaja memperkecilkan kepintaran mereka.

Kejanggalan

Namun, ada kejanggalan dalam pelantikan Mahiaddin ini. Ia diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.

Padahal, pelantikan semula Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah dan Tiong King Sing sebagai Duta Khas ke China serta pelantikan Richard Riot anak Jaem sebagai Duta Khas ke Asia Timur diumumkan oleh Jabatan Perdana Menteri. Macam kurang sikit status Mahiaddin.

Tindak-tanduk Ismail Sabri ini memperkukuhkan lagi pendapat umum dalam kalangan pengguna media sosial bahawa wakil-wakil rakyat dan parti-parti politik katak yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini wajib diajar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Cabaran paling getir adalah apakah kita akan ada pilihan? Yang sangat dibimbangkan adalah calon-calon dan parti-parti katak yang sama akan bertanding di kawasan kita dan calon yang melawan mereka pula bukan daripada parti yang kita sokong.

Yang sudah pasti, parti-parti yang sama akan bertanding dan majoriti calon terdiri daripada katak-katak yang terkutuk.

Oleh sebab itulah daripada sekarang lagi kita wajib berkempen supaya lebih banyak calon baru, muda, wanita dan berwibawa dikemukakan. Kita tolak mana-mana parti yang tidak memenuhi ekspektasi kita.

Dalam konteks ini, maaf cakaplah kalau saya kata semua parti politik utama telah menderita proses penuaan yang kronik dengan majoriti pemimpin mereka terdiri daripada warga emas (senior citizens).

Mereka perlu “memudakan” kepemimpinan. Warga emas tidak hilang keemasannya dengan menjadi mentor dan penasihat

Berita Penuh : https://malaysiadateline.com/geng-mahkamah-sudah-boleh-melambung-angan/

BACA: Berjaya bayar balik wang rasuah punca SPRM tarik balik kes