Semua negeri ada varian Beta, kata Dr Hisham

Semua negeri ada varian Beta, kata Dr Hisham

Varian Beta Covid-19 dari Afrika Selatan kini dikesan hampir di semua negeri dan dipercayai sudah merebak ke dalam komuniti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata, vaksin sedia ada masih berkesan terhadap varian beta dan beberapa varian merbahaya yang lain namun langkah-langkah keselamatan tertentu perlu diperketatkan.

“Kawalan ketat sempadan negara perlu diteruskan dan dipertingkatkan bagi mengawal penularan Variant of Concern (VOC) terutama Varian Alfa, Beta dan juga varian paling bahaya, Delta,” katanya yang dipetik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam hantaran laman Facebook.

varian beta

Dalam pada itu, menerusi siaran langsung Program The Nation di Bernama TV malam tadi, Hisham berkata pertambahan kes baharu sudah dijangka kerana saringan besar-besaran dilakukan di kawasan komuniti berisiko tinggi di Lembah Klang.

Katanya, KKM telah bersiap sedia dalam menghadapi pertambahan bilangan pesakit yang perlu dirawat di hospital terutama di Lembah Klang.

“Antaranya meningkatkan kapasiti katil di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Hospital Selayang serta Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM.

“Pada masa sama, persediaan itu juga termasuk (mendapatkan) kerjasama hospital swasta bagi merawat pesakit bukan Covid-19 serta mobilisasi kakitangan kesihatan dari Perak, Terengganu dan Pahang untuk membantu fasiliti kesihatan di Lembah Klang,” katanya.

Hisham juga berkata sebahagian besar pesakit Covid-19 adalah daripada Kategori 1 dan 2 dan mereka akan diasingkan atau dikuarantin di rumah.

Beliau berkata, pesakit bagi kategori 3 ditempatkan di PKRC manakala Kategori 4 dan 5 pula dirawat di hospital.

Mengenai kekurangan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hisham menjelaskan bahawa ia berlaku disebabkan pesakit Kategori 4 dan 5 memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh akibat komplikasi serius jangkitan Covid-19.

“Purata tempoh rawatan pesakit tahap 4 adalah antara 14 hari hingga 16 hari manakala tahap 5 antara 19 hari hingga 26 hari,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/11/varian-beta-dikesan-hampir-di-semua-negeri-kata-hisham/

BACA JUGA : ‘Nampak macam kosong’, Dr Hisham ulas isu picagari vaksin ‘kosong’