Semenjak pelaksanaan darurat, kerajaan PN menuju kearah pemerintahan diktator – Khalid

Semenjak pelaksanaan darurat, kerajaan PN menuju kearah pemerintahan diktator – Khalid

Pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador diakui amat mengejutkan tetapi itulah budaya yang sedang dibawa kerajaan hari ini, kata Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad.

Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) jelas dilihat sedang membawa satu corak pemerintahan yang berbentuk kuku besi dan mengongkong agar dapat menguasai rakyat dan negara.

Menurutnya, tindakan kerajaan mengisytiharkan darurat itu sendiri sudah memperlihatkan kecenderungan pemerintahan yang bersifat diktator.

“Bila isytihar darurat, itu memang dah nampak kecenderungannya ke arah satu pemerintahan bersifat diktator dan kuku besi di mana Parlimen digantung dan rakyat tidak ada hak untuk bersuara melalui wakil rakyat mereka.

“Kerajaan itu membuat sesuka hatinya dan apa yang dilakukan Hamzah adalah selari dengan ‘trend’ yang dibawa kerajaan PN-BN.

“Ini amat membimbangkan kerana memperlihatkan seolah-olah ingin membawa negara ke arah kerosakan yang ketara,” katanya dalam siaran langsung di Facebook Jom Channel semalam.

Khalid berkata, biarpun perlembagaan memperuntukkan Menteri Dalam Negeri untuk menguasai Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP), namun ia tidak bermakna seseorang menteri itu boleh secara langsung menentukan pelantikan pegawai dalam pasukan keselamatan negara.

Jelasnya, jika benar kerajaan memerintah ingin melaksanakan pendekatan demokratik, mereka perlu membiarkan Ketua Polis Negara (KPN) menjalankan tugas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Dakwaan perlembagaan itu memberikan kuasa kepada menteri dalam negeri mengandaikan bahawa semuanya mesti ditentukan oleh menteri.

“Tetapi menteri banyak lagi cabang kerajaan yang perlu dijaga seperti agensi imegresen. Jadi, dia boleh agih tugas kepada KPN.

“Justeru, Perkara 140 itu tak boleh dibaca bersendirian dan mesti dengan pemahaman dan pendekatan profesional. Polis perlu bebas dan tak diperkudakan oleh mana-mana menteri atau kerajaan,” katanya lagi.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/pendedahan-hamid-mengejutkan-tapi-itulah-pn-yang-diktator/