Semenjak kami keluar, PKR sudah tidak aktif dan tiada aktiviti – Zuraida

Semenjak kami keluar, PKR sudah tidak aktif dan tiada aktiviti – Zuraida

Zuraida Kamaruddin berkata parti lamanya itu seolah-olah tiada lagi gerakan dan aktiviti selepas beliau dan rakan-rakannya daripada pimpinan tertinggi keluar daripada parti tersebut.

Menurut Zuraida, pimpinan tertinggi PKR keluar dari parti itu kerana sudah tidak percaya dengan hala tuju parti dan presidennya, Anwar Ibrahim yang tidak lagi dilihat membawa keadilan dan membela rakyat.

“Kami tinggalkan PKR dalam keadaan kami menang dalam pemilihan parti.

“Mohamed Azmin menang jawatan timbalan presiden, saya menang naib presiden dan semua yang keluar dengan kita, separuh menang ahli majlis tertinggi parti,” katanya dalam temu bual bersama Utusan Malaysia hari ini dan menambah bahawa ketua wanita dan timbalannya pun turut menyertai mereka keluar daripada PKR selain timbalan ketua pemuda.

Menurutnya, selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PKR hanya digembleng untuk memastikan Anwar menjadi perdana menteri.

“Tidak mengapa nak jadi perdana menteri, tapi kita kena teruskan kerja untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Fokus kita bukan untuk capai sesuatu jawatan, kemudian memporak-perandakan negara. Itu yang kita tidak setuju,” katanya.

Dalam temu bual itu juga Zuraida turut mengisyaratkan PKR seakan-akan sudah tidak lagi hidup dengan program-program seperti sebelum ini ketika beliau dan rakan-rakan berjuang sebagai pembangkang dalam parti tersebut ketika ditanya tentang keadaan PKR selepas beliau dan Azmin keluar parti.

“Pemberita lebih tahu apa yang berlaku. Tapi apa yang saya dengar, seolah-olah sudah tiada gerakan, tiada aktiviti dan sebagainya.”

Pada Februari 2020, Zuraida dan Azmin dipecat selepas dilihat mengkritik Anwar selesai pemilihan PKR pada 2018 susulan perbalahan yang timbul di dalam parti itu.

Perbalahan antara pemimpin tertinggi PKR itu dilihat selepas timbul dua kem yang saling menyerang sepanjang pemilihan parti pada 2018 yang menyaksikan Anwar menang sebagai presiden tanpa bertanding.

Manakala Azmin memenangi jawatan timbalan ke atas Rafizi yang kemudian dilantik sebagai naib presiden selepas pemilihan.

Zuraida dan Azmin kemudiannya menyertai Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin selepas kejatuhan Pakatan Harapan sebaik sahaja perdana menteri waktu itu Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Selepas tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) Zuraida dan Azmin kemudian dilantik sebagai menteri.

Zuraida menambah, dalam Bersatu beliau memainkan peranan sebaik mungkin dalam pasukan baru.

Beliau bahkan berkata merasa janggal kerana tidak memiliki jawatan yang berpengaruh seperti ketika bersama PKR.

“Selepas keluar PKR, kami tidak tubuh parti baharu. Kita berazam mahu memantapkan negara (kerajaan), tidak mahu
berpecah lagi.

“Platform politik saya tiada dalam Bersatu, setakat duduk jadi ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT), saya pun rasa janggal, berbanding semasa dalam PKR.

“Tapi sebagai pemimpin, saya boleh (laksanakan) apa sahaja. Sebab itu saya percaya walau tiada jawatan, masih boleh tahu apa saya nak buat,” katanya.

Sumber : http://asamboi.net/video-rakaman-lucu-pkr-tak-aktif-sejak-kami-keluar-kata-zuraidah/