Semangat setiakawan, Dap buat keputusan guna logo Warisan

Semangat setiakawan, Dap buat keputusan guna logo Warisan

Calon DAP pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan datang tidak akan menggunakan logo parti mereka sendiri, sebaliknya akan bertanding di bawah bendera Warisan.

Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng berkata, ia merupakan keputusan yang sukar oleh jawatankuasa eksekutif pusat DAP, namun sebagai memenuhi permintaan jawatankuasa DAP Sabah untuk bertanding dengan logo bersama.

“Menghormati kehendak Jawatankuasa DAP Sabah, ahli dan penyokong kami di Sabah, saya dengan ini mengumumkan bahawa semua calon DAP Sabah akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang di bawah bendera Parti Warisan Sabah, ”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata pilihan raya negeri yang akan datang menjadi penentu kepada masa depan Sabah dan mempunyai implikasi yang luas.

“Kemenangan (presiden Warisan Mohd Shafie Apdail) akan menjadi penolakan kepada politik pengkhianatan, di mana mandat pengundi pada pilihan raya 2018 dikhianati, dibeli dan dibatalkan.

“Politik pengkhianatan telah membawa kepada pembentukan kerajaan Persekutuan yang tidak dipilih yang tanpa malu-malu membenarkan polisi pelampau kaum dan agama,” kata Lim.

Lim berkata kemenangan Warisan di Sabah akan membawa harapan kepada seluruh Malaysia bahawa kerajaan yang terpilih akan “dapat menjadi pelindung rakyat, pembela demokrasi dan keadilan, mengawal rasuah dan penjaga masa depan anak-anak kita”.

“Kami yakin semangat dan nilai DAP akan terus menjadi prinsip panduan semua calon ketika kami berganding bahu dengan sekutu kami dalam Warisan Plus untuk memenangi pilihan raya ini bersama-sama,” katanya.

Selain DAP, Amanah juga akan bertanding di bawah tiket Warisan dalam pilihan raya Sabah.

PKR bagaimanapun akan menggunakan logonya sendiri walaupun bersekutu dengan Warisan.

Selain tiga parti Pakatan Harapan, parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) juga bersekutu dengan Warisan.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, pemangku ketua DAP Sabah Frankie Poon Ming Fung berkata penggunaan logo Warisan adalah untuk menunjukkan persahabatan dan kesatuan dengan Warisan Plus – gelaran tidak rasmi bagi pakatan itu.

“Walaupun kita agak sedih DAP melepaskan simbol tradisi kami ‘Roket’ dan sebaliknya menggunakan logo Warisan, namun ini adalah perkara yang tepat untuk dilakukan.

“Kami telah membuat keputusan setelah berunding dengan penyokong kami di bandar dan luar bandar.

“Dalam semangat keakraban dan memandangkan pilihan raya negeri ini sangat penting bagi rakyat Sabah dan negara, kami secara bersama memutuskan untuk mengikut saranan Presiden Warisan Shafie Apdal untuk menggunakan logo bersama,” katanya sambil menambah langkah itu diharapkan dapat memenangkan semua calon Warisan Plus.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/541948

COMMENTS