Selepas SPRM, PDRM pula nafi jadi “orang suruhan” orang politik

Selepas SPRM, PDRM pula nafi jadi “orang suruhan” orang politik

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan tohmahan daripada gabungan beberapa parti politik kononnya pasukan keselamatan itu dijadikan ‘senjata politik’ dalam melaksanakan tindakan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau tidak ditekan oleh sesiapa pun dan semua tindakan yang diambil oleh pihaknya adalah mengikut keperluan undang-undang.

“Janganlah sebab diminta datang ke balai untuk dirakam kenyataan itu dianggap sebagai satu tekanan politik.

“Ini proses siasatan. Setahu saya tidak ada yang dikasari, diugut atau ditakut-takutkan oleh pegawai penyiasat. Insya-ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Jumaat, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan tindakan bagi memberi tekanan kepada ahli-ahli Parlimen, pegawai dan ahli keluarga.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa tindakan tersebut bertujuan memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Susulan itu, SPRM turut menafikan tohmahan terbabit dan menegaskan suruhanjaya itu merupakan agensi penyiasatan yang bebas dan sentiasa memastikan tindakannya berlandaskan undang-undang tanpa membabitkan kecenderungan politik.

SPRM menganggap tohmahan itu sebagai tidak berasas serta tidak bertanggungjawab kerana perkara itu boleh menjejaskan imej SPRM sekali gus menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap SPRM.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/127200/BERITA/Nasional/PDRM-nafi-dijadikan-senjata-politik