Selepas PH bangun dari lamunan, apa ia akan buat?

Kekalahan teruk Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai dikatakan menjadi pengajaran agar gabungan pemerintah ini bangun daripada tidur yang panjang. Kata orang putih ini adalah satu “wake-up call”.

Persoalannya, selepas ia bangun, apa yang PH akan lakukan?

Masyarakat Malaysia masih terpisah dari sudut pemikiran berasaskan kaum, seolah-olah setiap kumpulan etnik mempunyai falsafah pemikiran yang berbeza walaupun tekanan ekonomi dan kos sara hidup yang mereka alami hampir sama.

Jadi, jawapan kepada persoalan di atas adalah berbeza mengikut tekanan kaum atau peer pressure kumpulan etnik masing-masing.

Pemikiran Berasas Kaum

Bagi kebanyakan orang Melayu, PH mesti lebih prihatin dengan keperluan dan kehendak kaum majoriti tersebut. Ini bermakna apa yang Pas dan Umno semboyankan selama ini adalah benar – hak, keistimewaan dan perlindungan terhadap orang Melayu selama ini masih tidak cukup, dan perlu diperluaskan lagi.

Hakikatnya ialah apabila Melayu diutamakan, ia mengurangkan hak dan perlindungan kepada bukan-Melayu. Ini asas ekonomi. Jika ini adalah jalan pilihan PH selepas Tanjung Piai, politik kaum dan agama politik akan meningkatkan tahap ketegangan antara rakyat.

Apatah lagi apabila serangan Pas-Umno terhadap PH turut bertujuan menimbulkan keraguan dan kebencian terhadap menteri serta pemegang jawatan kanan yang bukan-Melayu semata-mata kerana mereka bukan-Melayu.

Bagi kebanyakan orang bukan-Melayu pula, PH perlu lebih prihatin dengan keperluan mereka yang sekian lama dipinggirkan. Ramai antara mereka percaya hak mereka semakin ditekan dek politik kaum dan agama, dan mereka mahu ruang kebebasan yang lebih selesa serta hak-hak asas seperti yang disarankan dalam Manifesto PH dalam pilihan raya umum 2018.

Dari sudut kaum, janji pengikitrafan UEC, pengenalan tulisan Jawi, kematian anggota bomba dalam pergaduhan kuil di Selangor, penangkapan suspek LTTE, cadangan dan bantahan ICERD telah menimbulkan ketegangan. Setiap isu tersebut disokong oleh majoriti satu kaum dan dibantah pula oleh majoriti kaum yang lain.

Wira sesuatu kaum menjadi musuh besar untuk kaum yang satu lagi. Parti yang didominasi satu kaum dibenci oleh parti majoriti kaum yang satu lagi. Inilah dilema rakyat Malaysia yang tidak berkesudahan.

Lembabnya Perubahan

Dalam keadaan ini PH dilihat terlalu lembab bergerak dan tidak banyak melakukan usaha untuk mengurangkan tekanan hidup rakyat. Dari sudut ekonomi, walaupun Cukai Barangan dan Jualan (GST) dihapuskan, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pula dikembalikan. Untuk jutaan pengguna, ini tidak dirasai meringankan beban mereka. Ini membuatkan rakyat marah kerana janji meringankan beban hidup, khususnya untuk anak muda, dilihat gagal dilaksanakan dengan baik.

Begitu juga dengan janji menghapuskan tol secara berperingkat yang semakin tidak jelas sama ada ia akan berlaku atau tidak. Soal akses kesihatan juga tidak menampakkan kesan besar, malah melalui laporan media, ia masih berkisar dengan soal penjagaan kesihatan awam atau meluaskan peluang perniagaan untuk hospital swasta.

Reformasi politik pula masih di takuk lama kerana banyak undang-undang yang mengongkong atau peruntukan zalim dalam undang-undang yang mahu dihapuskan masih wujud.

Namun tidak adil jika dikatakan PH gagal dalam semua usaha melaksanakan manifestonya. Kebanyakan janji 100 hari pertama pentadbiran telah ditunaikan. Malah, usaha menyelesaikan skandal 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji telah ditangani dengan baik dan masih dalam proses pembaikan.

Begitu juga usaha melaksanakan proses yang menjamin ketelusan amalan kerajaan, dan melawan rasuah dalam pentadbiran termasuk proses tender terbuka yang merupakan kejayaan kerajaan PH.

Politik Emosi

Tetapi sikap dan perasaan manusia tidak mudah untuk diyakinkan dengan fakta dan perangkaan. Emosi menjadi penentu kepada rakyat dalam menilai sesuatu.

Buat masa ini, Pas-Umno serta konco-konco mereka dalam gabungan Muafakat Nasional yang membawa ideologi “Melayu terancam” mempunyai daya pujukan, tuntutan dan seruan yang berjaya meyakinkan orang Melayu. Kaedahnya mudah sahaja – menimbulkan ketakutan di kalangan Melayu bahawa mereka akan hilang kuasa di bawah pentadbiran PH kerana adanya DAP yang mereka sifatkan sebagai hantu yang mengancam orang Melayu.

PRK Tanjung Piai mengkukuhkan kepercayaan mereka apabila MCA yang menentang hudud dan menolak tulisan Jawi telah mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Pas-Umno. Malah dengan tanpa segan silu MCA berganding bahu dengan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini bertarung di mahkamah atas puluhan tuduhan jenayah, rasuah dan salah guna kuasa.

Sehubungan itu, paduan kemarahan Melayu dan Cina digabungkan untuk “mengajar” PH yang disifatkan ramai sebagai berada di alam khayalan dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Mereka seolah-olah tidak peduli dengan pucuk pimpinan Umno yang sarat dikenakan tuduhan rasuah di mahkamah.

Pasca-PRK

Namun, kembali kepada persoalan asas, iaitu apa yang perlu PH lakukan selepas bangun daripada tidur, akan mendapat pelbagai jawapan daripada pimpinan yang mungkin kabur atau kurang jujur.

Banyak yang akan menyalahkan orang lain, menuding jari ke arah lain. Tiada siapa yang akan mengaku bertanggungjawab, meminta maaf dan meletak jawatan. Mungkin kerana ia bukan budaya politik Malaysia.

Jika itulah hasilnya dalam beberapa minggu ini, kemarahan rakyat tidak akan reda. Walaupun rasa bengang itu berbeza asasnya – iaitu bukan-Melayu marah kerana pimpinan PH dikatakan tidak peduli dengan keperluan bukan-Melayu manakala Melayu marah kerana PH tidak peduli dengan tuntutan Melayu – kesannya sama sahaja, iaitu mereka semua marahkan PH.

Fenomena ini pula bukan baru kerana ia pernah berlaku kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila semua kaum marah terhadapnya dalam PRU 2008 akibat gagal menunaikan janji-janji manisnya yang dibuat dalam PRU 2004. Sedangkan kemarahan mereka terpisah mengikut emosi kaum masing-masing.

Sama ada PH bangun atau tidak selepas PRK Tanjung Piai, bagi gabungan parti pemerintah, masalah kaum dan tuntutan berasaskan kaum/agama akan selamanya menjadi duri dalam daging bagi mana-mana kerajaan. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tentunya akur tentang kemelut ini.

Bagi Wee Jeck Seng pula yang kembali menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selepas tewas dalam PRU 2018, beliau perlu menunaikan janji-janjinya dalam PRK tersebut termasuk menghantar beribu-ribu warga emas di kawasannya menunaikan umrah. Jika gagal, dia mungkin dihumban keluar oleh pengundi yang semakin berani dalam era pentadbiran PH.

Bagi calon Bersatu-PH yang kalah, Haji Karmaine Sardini, beliau boleh kembali menjadi imam masjid di Johor pada bila-bila masa kerana gabungan Melayu-Islam Pas-Umno telah menendangnya keluar untuk memberi laluan kepada MCA.

* Wan Hamidi Hamid merupakan seorang bekas wartawan yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam media cetak, portal berita dan khidmat komunikasi. Tulisan di atas disiarkan dalam blog SOLIDARITAS.

Berita Asal https://malaysiadateline.com/selepas-ph-bangun-tidur-apa-ia-akan-buat/