Selepas krisis Perak, Umno gesa parti majoriti mesti pimpin gabungan perdana

Selepas krisis Perak, Umno gesa parti majoriti mesti pimpin gabungan perdana

Seorang pemimpin tertinggi Umno berkata, sekiranya sebuah gagasan perdana melibatkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ditubuhkan maka parti majoriti mestilah memimpin.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya keadaan itu tidak berlaku, maka beliau menyarankan supaya jawatan perdana menteri dipegang secara bergilir.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan bilangan gabungan politik diperlukan ketika ditanya mengenai cadangan Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainudin supaya PN, BN dan GPS bersatu di bawah satu gagasan perdana untuk memastikan kemenangan pada pilihan raya umum ke-15.

“Nak berapa banyak lagi gabungan? Wujud gabungan untuk sedut kekuatan parti orang lain,” katanya kepada FMT.

Terdahulu hari ini Hamzah mencadangkan PN, BN dan GPS bersatu di bawah satu gagasan perdana bagi memastikan ia memperoleh kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

Hamzah berkata, gagasan itu perlu menggubal ‘piagam persefahaman politik’ bagi menyakinkan rakyat bahawa ia menawarkan kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan mentadbir negara melalui dasar yang berkesan.

Seorang pemimpin Umno setuju dengan cadangan penubuhan gagasan perdana antara PN, BN dan GPS untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) kalah pada pilihan raya umum ke-15.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz bersetuju dengan penubuhan sebuah gagasan politik besar melibatkan PN, BN dan GPS.

Ia katanya, ini susulan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dan kelemahannya dalam mentadbir negara.

“Hanya BN, GPS dan PN boleh jamin kerajaan yang saksama sebab sebahagian besar pemimpinnya berpengalaman dalam mentadbir kerajaan.

“Kita sokong kuat cadangan yang dibuat. Saya fikir ini cadangan baik.

“Mungkin juga bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebelum ini kerana melihat kerajaan PH terlalu buruk,” katanya kepada FMT.

Nazri yakin selagi Umno dan PAS berada dalam gabungan perdana itu, ia boleh meraih kemenangan dengan majoriti besar dalam PRU15.

Beliau berkata, masalah dalaman parti-parti gabungan itu hendaklah diselesaikan secara baik.

“Majoriti besar itu boleh dapat. Dalam 130 ke 135 kerusi di Parlimen boleh menang.

“Paling penting ialah menubuhkan kerajaan terlebih dahulu,” katanya.

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa secara ringkas berkata, BN sedia berbincang mengenai cadangan penubuhan gagasan perdana itu.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/11/parti-majoriti-mesti-pimpin-gabungan-perdana-kata-umno/

COMMENTS