Selangor tumpu tingkat industri berimpak tinggi, capaian internet bagi RMK-12 – Azmin

Industri berimpak tinggi, jaringan pengangkutan dan komunikasi merupakan antara sektor yang bakal ditumpukan pentadbiran Selangor dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata sektor berkenaan merupakan antara tumpuan cadangan yang dikemukakan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam sesi Libat Urus Penyediaan RMK-12 Kementeriannya bersama Kerajaan Negeri Selangor hari ini.

“Selangor merupakan rakan yang penting dalam ekonomi negara, libat urus antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor adalah penting bagi memastikan setiap pembangunan infrastruktur di negeri ini dapat menjana pertumbuhan positif.

“Cadangan untuk mempertingkatkan industri berimpak tinggi, jaringan jalan raya dan lebuh raya, capaian internet di bandar dan luar bandar selain penyediaan sumber manusia yang menepati permintaan industri merupakan antara cadangan yang dikemukakan sebentar tadi untuk dipertimbangkan dalam kerangka besar RMK-12,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai sesi libat urus berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir exco-exco dan Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

Mohamed Azmin berkata, Selangor merupakan negeri ke lapan dilawatinya dalam sesi libat urus berkenaan dan akan ke Terengganu dan Pahang pada minggu hadapan.

“Dijangkakan sesi libat urus ini akan selesai dalam masa tiga bulan lagi,” katanya.

Sementara itu, Amirudin dalam kenyataannya berkata sesi libat urus itu telah mengenal pasti lima industri utama di Selangor yang memerlukan sinergi antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.

Menurutnya, lima industri utama itu adalah sains hayat, jentera dan kejuruteraan, elektrik dan elektronik, makanan dan minuman serta pengangkutan dan peralatan.

“Kerajaan Negeri Selangor berharap beberapa inisiatif dan projek antaranya seperti penggantian paip air di kawasan Bio Bay di Pulau Indah, penyelesaian kepada pemilikan rumah mampu milik, peningkatan kapasiti jalur lebar di seluruh Selangor, beberapa projek pengurusan banjir termasuklah Pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir dan Subang Airport Regeneration 2025 akan dipertimbangkan dan diluluskan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi,” katanya.

BERNAMA