Selangor tawar hadiah bernilai RM30000 sempena bulan keluarga kebangsaan

Selangor tawar hadiah bernilai RM30000 sempena bulan keluarga kebangsaan

Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga akan menganjurkan Program Piknik Keluarga dan Program Papaku Adiwira bersempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan peringkat Negeri Selangor tahun 2020 dengan tema pada tahun ini #KitaJagaKeluarga.

Program yang akan bermula pada 7 November 2020 dan berakhir pada 26 Disember 2020 turut menawarkan hadiah menarik yang bernilai sehingga RM30,000 ringgit melalui siri-siri pertandingan yang telah disusun di dalam program tersebut seperti i.) Kuiz Penonton Di Rumah; ii.) Video Pertandingan Keluarga Kreatif; iii.) Pertandingan Video Permainan Rakyat dan iv.) Pertandingan Penonton Setia.

Para penonton boleh mengikuti program-program ini secara atas talian (online) di platform rasmi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor iaitu Facebook Selangor 3W, yang akan bersiaran pada setiap hari Rabu dan Sabtu jam 10 pagi untuk program Piknik Keluarga, manakala setiap hari Selasa dan Jumaat jam 9.00 malam untuk Program Papaku Adiwira.

Program Piknik Keluarga ini memfokuskan kepada perkongsian pengalaman dan ilmu kekeluargaan yang merangkumi aspek perancangan kewangan, kesihatan keluarga, keselamatan keluarga dan kemahiran keibubapaan. Selain itu, turut diadakan pengisian bersama kanak-kanak seperti Slot Mari Bercerita Bersama Dik Mia Aleeya, Permainan Rakyat & Keluarga Kreatif Secara Maya dan Perkongsian Tips Keluarga Bahagia daripada YB EXCO dan ADUN menurut adat resam dan budaya masing-masing.

Bagi program Papaku Adiwira pula akan memfokus kepada usaha pembangunan kaum bapa di mana Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor pada tahun 2020 telah membangunkan modul kebapaan yang dijenamakan sebagai A.D.I.W.I.RA iaitu:

A- Akhlak mulia
D- Damai jiwa
I- Idola keluarga
W- Wibawa ilmu
I- Ikatan agama
R- Riadah bersama
A- Aspirasi bahagia

Diharapkan semua warga Selangor dapat bersama-sama menyemarakkan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan peringkat Negeri Selangor tahun 2020 dan menghayati tema #KitaJagaKeluarga.

Sekian, Terima kasih.

YB DR SITI MARIAH BINTI MAHMUD
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan,
Pembangunan Wanita & Keluarga Negeri Selangor